ad
AGENDA

Tumpu agenda lahir tenaga kerja mahir, penuhi keperluan industri

17 Feb 2025, 8:17 AM
Tumpu agenda lahir tenaga kerja mahir, penuhi keperluan industri
Tumpu agenda lahir tenaga kerja mahir, penuhi keperluan industri

SHAH ALAM, 17 FEB: Kerajaan dicadang mewujudkan kerangka besar yang menumpu agenda melahirkan tenaga kerja mahir tempatan bagi memenuhi keperluan industri, kata Ahli Parlimen Gombak.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ini bagi memastikan negara bukan hanya mampu menyediakan tenaga kerja berkemahiran rendah dan sederhana, malah berupaya melahirkan sumber manusia berkemahiran tinggi.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata kerajaan boleh mengadaptasi atau menambah baik usaha dilakukan Selangor bagi menyemarak penghasilan tenaga kerja mahir melalui kerjasama rapat dengan pelbagai syarikat industri teknologi tinggi.

“Pengalaman Selangor sebagai contoh, kita laksana kerjasama rapat dengan beberapa agensi, antaranya Siemens, Festo, Apple dan Dassault System yang mana dalam tempah enam hingga tujuh bulan, 2,000 pekerja dilatih untuk program latihan semula dan peningkatan kemahiran.

“Sebahagian daripada mereka, telah berjaya meningkatkan pendapatan hingga 60 peratus daripada pendapatan asal. Kos latihan ini ditanggung oleh syarikat-syarikat terbabit, menjadikan ia model yang boleh diperluaskan ke negeri-negeri lain.

“Saya bagi contoh yang mampu dilakukan di Selangor, namun mungkin ia boleh disalin semula atau diperbaiki,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

[caption id="attachment_681186" align="aligncenter" width="815"] Pelajar kolej kemahiran bertungkus lumus memasang enjin kereta dalam pertandingan automotif sempena Karnival Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Zon Timur di perkarangan Stadium Darul Makmur pada 21 April 2018. Foto BERNAMA[/caption]

Amirudin menambah, Malaysia sudah mempunyai rangkaian yang menyokong penghasilan tenaga kerja berkemahiran tinggi seperti Kolej Komuniti, institusi kemahiran dan sebahagian universiti yang telah diberikan penarafan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Sejauh mana mereka dapat menghubungkan (tenaga mahir) dengan keperluan industri, adakah industri berkenan melabur hasil mereka untuk melahir pekerja kita, atau sejauh mana ukuran perpindahan teknologi dapat dicatatkan.

“Hakikatnya kita masih bergelut. Pada 2023, seramai 8,300 tenaga berkemahiran tinggi dapat kita wujudkan dan hanya peningkatan 100 pada 2024. Jadi perlunya usaha semua pihak untuk mencapai matlamat melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.