HULU LANGAT, 17 FEB: Sebanyak 44 sekolah baharu akan dibina dalam belanjawan 2025 bagi menangani isu kepadatan murid dalam satu kelas.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kerajaan komited memastikan murid di seluruh negara melalui sesi pembelajaran dan pengajaran dengan kondusif.
“Sebelum ini, dalam belanjawan 2024 kerajaan membina sebanyak 24 sekolah baharu. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap pembinaan sekolah baharu ini dilaksanakan berterusan mengambil kira isu sekolah padat yang dibangkitkan oleh masyarakat.
“Langkah intervensi lain ialah membina lebih banyak kelas kabin di sekolah termasuk melaksanakan dua sesi persekolahan. Di Selangor, sejumlah RM69 juta diperuntuk untuk membina 31 kelas kabin di 95 buah sekolah,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media ketika melawat Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Pelangi Semenyih di sini hari ini. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari.
Beliau menambah sebanyak 17 sekolah baharu mula beroperasi pada sesi pembukaan hari ini. Daripada jumlah tersebut dua di Selangor iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Pelangi Semenyih dan Sekolah Rendah Denai Alam.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina memberitahu KPM memandang serius isu pembinaan sekolah yang terbengkalai dan tidak mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Di peringkat KPM, banyak intervensi khususnya dalam konteks proses pembinaan dan memastikan disiplin kerja itu dipantau mengikut dalam tempoh yang ditetapkan,” ujarnya.