IPOH, 17 FEB: Pengurusan dan pentadbir sekolah di seluruh negara perlu mematuhi garis panduan ditetapkan bagi menghadapi tempoh peralihan monsun dijangka bermula bulan ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata garis panduan itu berdasarkan Garis Panduan Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Semasa Cuaca Panas bertarikh 28 April 2023.
"Ibu bapa juga digalakkan untuk membekalkan air minuman yang mencukupi kepada anak mereka dan pihak sekolah pula akan memastikan bekalan air minuman mencukupi untuk murid.
"Pada masa sama KPM, JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan sekolah perlu sentiasa mengikuti perkembangan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Tack, Kampung Simee di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri Safuan Raba'ai.
Sebelum ini, Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata cuaca panas dan kering dijangka melanda kebanyakan tempat terutama di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak serta Pahang dan Kelantan bermula bulan ini hingga Mei.
Mohd Hisham berkata negara kini berada pada fasa penghujung Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pertengahan Mac dan dalam tempoh itu, litupan awan serta taburan hujan berkurangan.
- BERNAMA