KUALA SELANGOR, 17 FEB: Pekan Bukit Rotan di sini yang terletak kira-kira 50 minit perjalanan dari Kuala Lumpur mungkin tidak rancak membangun seperti kawasan sekitarnya di Puncak Alam, Bukit Melawati mahupun Ijok.
Namun, Bukit Rotan memiliki keistimewaan tersendiri bahkan terkenal sebagai pekan kecil yang harmoni dan mempunyai semangat kejiranan yang akrab tanpa mengenal warna kulit dan latar belakang.
Ini dibuktikan menerusi keunikan lokasi empat rumah ibadat yang berada berhampiran dalam satu kawasan, dengan jarak sekitar 200 meter antara satu sama lain.
[caption id="attachment_687353" align="aligncenter" width="794"] Pandangan dari atas Masjid An Nuriah, Gereja Methodist Tamil dan Kuil Sri Shakti Dhevasthanam di Bukit Rotan, Kuala Selangor pada 12 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Kuil Sri Shakthi Dhevasthanam yang berusia lebih 100 tahun, berdiri teguh bersebelahan Masjid An-Nuriah, sementara Gereja Methodist Tamil dan sebuah tokong Cina milik persendirian pula berada di hadapan masjid berkenaan.
Untuk rekod, Masjid An-Nuriah dan Gereja Methodist Tamil bakal menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun depan.
Paderi Ezekiel Raj, 34, berkata hubungan baik bersama 'jiran-jiran' rumah ibadat sudah bermula sejak sekian lama dan perkara tersebut disifatkan sebagai pemandangan biasa di Bukit Rotan.
[caption id="attachment_687352" align="aligncenter" width="815"] Paderi Ezekiel Raj ketika di tembual oleh wartawan di Gereja Tamil Methodist di Bukit Rotan Kuala Selangor pada 12 Februari 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
“Saya sangat bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada komuniti di sini. Dari segi cabaran, kita tiada (sebarang masalah). Kita sesuaikan diri antara satu sama lain.
“Apabila Ramadan, kami akan ke sana (masjid). Kami ada hubungan yang sangat baik. Kami juga dengar azan, yang mungkin terlalu kuat kepada sesetengah orang, tapi itu tidak menjadi masalah,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Tambah Ezekiel, pihak gereja membuka kawasannya sebagai lokasi tempat letak kereta bagi memudahkan jemaah masjid menghadiri solat Jumaat selain solat terawih sepanjang Ramadan.
Beliau mengakui, kedudukan empat rumah ibadat berhampiran menjadi daya tarikan pelancong yang memuji keunikan Bukit Rotan sekali gus membuktikan keharmonian antara kaum di negara ini.
“Setiap minggu ada pelancong datang dan mereka kata tidak pernah tengok macam ini (rumah ibadat berdekatan). Saya akan kata, selamat datang ke Malaysia, kami ibarat abang dan kakak di sini,” katanya.
[caption id="attachment_687351" align="aligncenter" width="718"] Temubual bersama Paderi dan Imam masjid di Bukit Rotan Kuala Selangor pada 12 Februari 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Ketika sesi temu bual ini dilakukan, Media Selangor sempat mempertemukan Ezekiel dan ahli jawatankuasa Masjid An-Nuriah di perkarangan masjid berkenaan.
Masing-masing dilihat berbual mesra dan sesekali bergurau senda, situasi itu jelas mempamerkan keunikan ikatan persaudaraan yang sudah terjalin sejak sekian lama.
Sementara itu, Ketua Pemuda Masjid An-Nuriah, Shafiq Nizam Khwaja Shariff berkata pihak masjid sering mempelawa pihak gereja, kuil dan tokong menyertai program anjurannya selain turut sama berkongsi rezeki.
Menurutnya, usaha itu membantu mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sudah sekian lama terjalin dan memupuk sifat kebersamaan.
“Bulan Ramadan kita akan buat bubur lambuk dan akan beri kepada gereja dan kuil. Semasa sambutan Aidiladha juga kita akan jemput mereka datang tengok. Kita tidak pernah ada masalah yang negatif,” katanya.