SHAH ALAM, 17 FEB: Tindakan pantas anggota polis yang terlibat dalam kemalangan antara sebuah kereta dan trak polis di Jalan Bukit Cherakah, Klang pagi tadi berjaya menyelamatkan nyawa seorang mangsa daripada terbakar.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata empat individu termasuk tiga anggota polis terlibat dalam kejadian itu.
Beliau berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada 6.40 pagi sebelum menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar ke lokasi.
"Komander operasi melaporkan kemalangan dipercayai akibat pertembungan antara dua kenderaan terbabit menyebabkan kereta dipandu seorang lelaki terbakar 90 peratus.
[caption id="attachment_687385" align="aligncenter" width="978"] Trak polis yang terbabit kemalangan dengan kereta di Jalan Bukit Cherakah, Klang pada 17 Februari 2025. Foto JBPM Selangor[/caption]
"Bagaimanapun pemandu kereta yang dalam keadaan sedar diselamatkan anggota terlibat dengan memecahkan cermin dan menarik keluar mangsa sebelum kereta musnah terbakar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta berusia 56 tahun itu patah kaki manakala seorang anggota polis iaitu pemandu trak patah tangan dan dua lagi anggota cedera.
"Makluman awal komander operasi turut menyatakan pemandu trak polis yang patah tangan akibat kemalangan itu bertindak mengundurkan trak bagi mengelakkan kenderaan berkenaan terbakar," katanya.
Beliau berkata mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut.
- BERNAMA