BENTONG,17 FEB: Seorang daripada empat pengguna jalan raya yang cuba membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila maut dirempuh kereta yang hilang kawalan di Kilometer 69.2, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerima panggilan memaklumkan kemalangan yang berlaku itu.
"Pada mulanya beberapa kenderaan yang lalu di kawasan itu berhenti bagi membantu kereta yang terbabas ke dalam longkang.
"Ketika pengguna jalan raya membantu mengawal lalu lintas, sebuah kereta hilang kawalan dan merempuh dua mangsa di tempat kejadian," katanya, lapor Berita Harian.
Katanya, akibat kemalangan itu, empat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.
"Seorang daripada mereka meninggal dunia ketika menerima rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Polis memohon kerjasama saksi kejadian tampil membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika membantu mangsa kemalangan.