Oleh Nazihah Khan
KLANG, 16 FEB: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menjangkakan Tapak Food Truck POSITIF@Klang menjadi tarikan pelancongan sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata tapak kendera saji itu juga diharap membantu peniaga kecil khususnya dari Klang dan Shah Alam berniaga di kawasan itu.
"Dengan adanya program seperti ini pelancong yang tinggal di hotel di daerah Klang atau sempadan Shah Alam akan menjadikan Tapak Food Truck POSITIF@Klang sebagai tempat tumpuan yang boleh dikunjungi selama tiga malam berturut turut.
"Ini kerana tapak tersebut akan beroperasi setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 5 petang hingga 11 malam," katanya selepas merasmikan tapak berkenaan di sini, hari ini.
Turut hadir Orang Besar Daerah Klang Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Pengerusi Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Tengku Dato' Setia Putra Alhaj, Ketua Polis Klang Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dan barisan kepimpinan tertinggi MBDK.