ad
AGENDA

Pekerja pajak gadai kes bunuh peniaga wanita direman seminggu

16 Feb 2025, 7:56 AM
Pekerja pajak gadai kes bunuh peniaga wanita direman seminggu

KUANTAN, 16 FEB: Polis menahan seorang pekerja kedai pajak gadai di Kuala Terengganu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang peniaga wanita yang mayatnya ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan polis di tempat kerjanya di sebuah kedai pajak gadai pada 10.30 pagi semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang lelaki telah mengunjungi kedai pajak gadai berkenaan dan menggadaikan gelang emas dipercayai milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM30,000.

“Berdasarkan siasatan awal, polis dapati hanya gelang emas milik mangsa sahaja yang digadai. Pekerja pajak gadai itu direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Perintah reman dikeluarkan pagi tadi oleh Mahkamah Majistret Kuantan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Mohd Zahari seterusnya mengesahkan pembunuhan peniaga wanita itu adalah bermotifkan samun.

Semalam polis telah menahan seorang lelaki di kawasan perumahan Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pada 5.30 pagi dan merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian selain dokumen bagi membantu siasatan.

Suspek berusia 53 tahun itu direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan kes bunuh Norshamira Zainal, 37, yang mayatnya ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini Khamis lepas, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.