SHAH ALAM, 16 FEB: Kerajaan Negeri menzahirkan rasa gembira apabila Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya dapat direalisasi selepas 28 tahun.
EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu menyifatkan projek pembinaan 245 unit rumah untuk pekerja lima ladang di Kuala Selangor sebagai sebuah perjuangan yang panjang.
“Saya berasa amat gembira kerana projek PRR Harmoni Madani Bestari Jaya dapat direalisasi. Ia merupakan perjuangan yang panjang selepas 28 tahun.
“Saya juga ucapkan terima kasih kepada perdana menteri, kementerian dan Kerajaan Negeri kerana sudi hulur sumbangan berjumlah RM75 juta, termasuk tanah daripada Berjaya Corporation Berhad sebanyak 20 ekar,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_687089" align="alignnone" width="887"] Sebahagian penduduk setempat hadir bagi melihat replika rumah pada Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 15 Februari 2025. Foto BERNAMA[/caption]
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan majlis pecah tanah PRR Harmoni Madani Bestari Jaya yang dijangka siap menjelang suku pertama 2027.
Projek dengan kerjasama kerajaan persekutuan, kerajaan Selangor, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Berjaya Corporation Berhad membabitkan pembangunan keseluruhan berjumlah RM75 juta.
Setiap kos kediaman dianggarkan RM300,000 seunit akan dijual pada harga RM45,000, dengan keseluruhan subsidi ditanggung kerajaan adalah dianggarkan RM58.8 juta.
Pada Mei tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilapor berkata kerajaan akan menyelesaikan isu perumahan yang membelenggu 245 keluarga melibatkan lima ladang di Bestari Jaya.
Pengumuman itu susulan pekerja di ladang terbabit iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak, diusir tanpa rumah untuk didiami.