PUTRAJAYA, 14 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) diteliti dan disemak semula bagi menambah baik akta berkenaan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata perincian berhubung penelitian dan penambahbaikan akta itu akan dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen dalam masa terdekat.
"Secara prinsipnya, ada beberapa perkara yang telah dibincangkan dan dipersetujui berkaitan menambah baik ataupun menyemak semula Akta Sosma,” katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi hari ini.
Beliau berkata kerajaan turut meneliti pindaan bagi menambah baik Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk memudahkan beberapa perkara bagi badan atau kumpulan yang ingin mengadakan perhimpunan aman.
"Ini sudah pasti antara lain (berhubung) apa yang berlaku baru-baru ini. Kerajaan memang dari semasa ke semasa meneliti undang-undang yang mana sekiranya perlu ataupun boleh ditambah baik, maka usaha ini akan diteruskan," katanya.
-- BERNAMA