SHAH ALAM, 14 FEB: Kadar pengangguran terendah direkodkan Selangor bagi suku keempat tahun lalu membuktikan keberkesanan dasar ekonomi yang dilaksana pentadbiran negeri.
EXCO sumber manusia berkata laporan kadar pengangguran dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu juga menunjukkan keupayaan negeri menarik pelabur sekali gus membuka peluang pekerjaan pelbagai sektor termasuk perindustrian, perkhidmatan dan teknologi.
“Pencapaian ini juga mencerminkan kecekapan pentadbiran dalam memastikan pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif. Usaha Selangor bukan sahaja untuk membuka peluang kerja tetapi juga meningkatkan kualiti pekerja termasuk menaikkan kadar gaji minimum.
"Kita akan terus berkerjasama dengan persekutuan untuk memacu ekonomi dan menarik pelaburan berkualiti seiring status Selangor negeri paling maju dan penyumbang terbesar ekonomi negara,” kata V Papparaidu kepada Media Selangor.
Mengulas lanjut, beliau berkata pentadbiran negeri komited memperkasa Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seiring dengan keperluan industri.
“Dalam pada masa sama sistem pendidikan dan latihan sejajar dengan keperluan industri turut diperkasa. Kita perlu menyediakan tenaga mahir untuk keperluan industri,” katanya.
Pada Isnin, ketua perangkawan berkata Selangor dan Kedah mencatatkan kadar pengangguran 1.7 peratus, diikuti Melaka (1.8 peratus), Johor dan Pulau Pinang (2.2 peratus).
Jelas Datuk Seri Dr Mohd Uzair Mahidin, Selangor turut merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh tertinggi iaitu pada 76.4 peratus, mengatasi Kuala Lumpur (74.9) dan Pulau Pinang (73.2).