SHAH ALAM, 14 FEB: Orang ramai dipelawa menyertai program saringan kesihatan percuma peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong di Dewan Pusat Komuniti Kampung Kunci Air Buang, Tanjong Karang esok.
EXCO kesihatan awam berkata inisiatif Selangor Saring mulai 9 pagi hingga 3 petang itu menyediakan pemeriksaan fizikal, jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, barah, mata, telinga dan gigi.
Jamaliah Jamaluddin menerusi Facebook turut menggalakkan orang ramai membuat pendaftaran di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi mengisi borang saringan awal untuk penilaian faktor risiko.
Menurutnya, pendaftar Selangor Saring di SELangkah semudah empat langkah berikut:
- memuat turun SELangkah
- tekan butang Selangor Saring
- isi borang soal selidik
- pilih lokasi dan tarikh program
Sebarang masalah boleh hubungi hotline Selcare 1-800-22-6600.
Jamaliah sebelum ini memaklumkan Selangor Saring berlangsung di empat lokasi sepanjang Februari membabitkan Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah (hari ini ) dan Dewan Pusat dan Komuniti Kampung Kunci Air Buang, Tanjong Karang (esok).
Program sama diteruskan di Dewan Orang Ramai Kampung Chuang Rasa (22 Februari) dan Dewan Meru Kapar (23 Februari).
Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma yang diperkenal sejak 2022.