ad
AGENDA

Negeri teguhkan pengurusan bekalan air, manfaat jangka panjang pengguna

14 Feb 2025, 6:00 AM
Negeri teguhkan pengurusan bekalan air, manfaat jangka panjang pengguna

SHAH ALAM, 14 FEB: Selangor giat memperkukuh daya tahan dan pengurusan sistem bekalan air menerusi pelbagai inisiatif strategik yang memberi manfaat jangka panjang kepada pengguna.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata ia termasuk pelaksanaan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) dan pembangunan loji rawatan air (LRA) lebih efisien bagi memastikan bekalan air bersih tidak terjejas walaupun berlaku pencemaran atau gangguan bekalan.

“Air mentah kita cukup. Selangor mempunyai simpanan enam hingga sembilan bulan. Ketika ini, Selangor sedang siapkan LRA Sungai Rasau yang merupakan LRA terbesar di Asia Tenggara dengan kemampuan 1,400 MLD akan siap 2026.

“Selain itu, LRA Langat 2 akan membekalkan kapasiti 1,130 MLD. Selangor turut memperkenalkan teknologi nano dan pemantauan 24 jam bagi mengawal pencemaran air serta memastikan gangguan bekalan dapat dikurangkan secara berkesan,” katanya.

Amirudin berkata demikian dalam program Analisis Madani: Transformasi Selangor, Ekonomi Pendidikan dan Infrastruktur terbitan TVAlhijrah malam tadi yang turut mengundang Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Amirudin turut menekankan usaha penyelenggaraan paip secara intensif bagi mengurangkan insiden paip bocor dengan jumlah insiden paip pecah berjaya dikurangkan daripada 13 kes bagi setiap 100 km pada 2018 kepada 3 kes pada masa kini.

Katanya, ia sekali gus memperkukuh pengurusan air tidak berhasil (NRW) akibat kebocoran paip dengan kadar NRW 31 peratus pada 2018 kini menurun kepada 26 hingga 27 peratus dan menyasarkan pengurangan lebih besar pada masa akan datang.

Amirudin turut memaklumkan bahawa margin simpanan air Negeri meningkat daripada 9 hingga 10 peratus kepada 14 peratus kini hasil daripada usaha pengurusan yang lebih teratur.

“Kalau semua projek kita berjalan lancar, 2028 akan ada margin rizab air 21 peratus. Ini adalah contoh pengurusan yang tersusun dan teratur dalam memastikan bekalan air yang stabil di Selangor,” katanya.

Mengulas mengenai bencana banjir, menurut Amirudin pihaknya bekerjasama rapat dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bagi menangani isu itu secara lebih tuntas.

“Beliau akan turun sendiri dan saya juga telah mula mengambil tanggungjawab secara langsung berkaitan projek tebatan banjir untuk memastikan ia dapat diselesaikan dan mengurangkan risiko bencana itu di Selangor.

“Kita cuba sebaik mungkin. Kita turut merangka pasukan untuk tangani kecemasan melalui unit bencana dengan kemudahan dan latihan selain penubuhan command center yan dihubungkan dengan peringkat negeri untuk menangani situasi bencana,” katanya.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.