ad
BERITA UTAMA

Karya rakam peristiwa sadis gadis Palestin dizalimi Israel (WAWANCARA)

14 Feb 2025, 4:00 AM
Karya rakam peristiwa sadis gadis Palestin dizalimi Israel (WAWANCARA)
Karya rakam peristiwa sadis gadis Palestin dizalimi Israel (WAWANCARA)

Meski gencatan senjata dimeterai pada 19 Januari, penduduk Palestin menanggung azab kesan serangan bertalu-talu rejim Israel sepanjang 15 bulan. Lebih 47,000 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terkorban, berderet-deret rumah musnah, hospital dan sekolah pula ranap dibom. Yang tinggal hanya sisa runtuhan.

Konflik sejak pencerobohan Israel pada 1948 juga belum ada noktahnya. Rakyat Palestin yang baru pulang dari pelarian perang kini berdepan pula risiko pengusiran. Kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 5 Februari untuk mengambil alih Semenanjung Gaza mencetuskan kembali kebimbangan.

Novel Perincian terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) karya penulis Palestin Adania Shibli diinspirasi dari kisah benar kezaliman tentera Israel. Wartawan ABDUL RAHIM SABRI menemu bual Ketua Pengarang IBDE Al Mustaqeem M Radhi dan penterjemah Abdul Jabbar Md Salleh. Berikut wawancara penuh.

Siapa Adania Shibli? Pernah baca karya-karya beliau sebelum ini?

Al-Mustaqeem: Saya sebelum ini tidak kenal dengan Adanya Shibli. Jadi punca kita pilih novel ini, sebab masa itu kita tengah cari novel penulis Arab untuk kita terjemah ke bahasa Melayu. Jadi, kebetulan ada kawan-kawan yang pernah baca novel Adania Shibli dan cadangkan. Kena pula novel ini, cerita tentang Palestin. Jadi, sesuai dengan perkembangan semasa. Sesuai dengan konflik Israel-Palestin yang semakin parah sekarang ini. Sesuai pula dengan hasrat IBDE untuk, pertama; memperbanyak terjemahan karya-karya penulis Arab. Yang kedua, untuk bawa cerita-cerita dari Palestin tetapi bukan cuma cerita-cerita yang kita baca dalam berita, dalam TV, dalam cerita politik. Sebab, ia ulang-ulang cerita sama. Jadi, kita hendak cerita dari sisi lain. Kita nampak melalui novel, cerpen dan sebagainya sebagai satu cara untuk tunjukkan cerita tentang Palestin. Jadi, Adania Shibli penulis Palestin tetapi sekarang duduk di Berlin, kalau tidak salah, dan menang anugerah novel, sebab itu kita pilih novel ini.

Kenapa karya ini dipilih untuk diterjemah?

Al-Mustaqeem: Ia berdasarkan cadangan daripada kawan-kawan. Kemudian apabila kita tengok, buku ini sesuai. Pertama sekali, kita tengok kepada perkara yang paling praktikal. Novel ini lebih bersifat novella, novel pendek. Jadi, mudah untuk orang kita baca. Kemudian ditulis dengan bahasa yang mudah tapi ceritanya menarik. Itu kriteria utama.

Apakah yang jadi daya tarikannya?

Al-Mustaqeem: Ada banyak faktor sebenarnya yang menjadikan novel itu menarik. Ada beberapa perkara yang menunjukkan penulis ini peka dengan apa yang terjadi di kelilingnya, yelah dia orang Palestin. Yang menariknya, penulis ini melihat, saya tidak boleh bercakap bagi pihak penulis, tetapi kita sebagai pembaca nampak yang penulis ini cuba untuk tidak terlalu... (berhenti sejenak). Sebab Palestin-Israel isu yang emosional. Isu yang membakar perasaan. Tapi penulis novel ini tidak membiarkan perasaannya menguasai penceritaan, tidak biarkan perasaan menguasai bahasa. Cuma bercerita tetapi dalam bentuk, dari satu segi macam sinis. Sebab dia bercerita perkara yang menyedihkan. Perkara yang menyayat hati. Bercerita tentang tragedi. Tetapi dalam bahasa yang ringkas, kering. Bahasa yang tidak berbunga-bunga. Langsung. Seolah-olah macam guna bahasa berita pun ada. Biasanya novel berbunga-bunga tetapi (novel) ini tidak. Bahasa dia langsung.

Sebab mungkin, isu Palestin-Israel, ulang cerita sama daripada awal konflik tahun 1947-48 sampai hari ini tahun novel ini ditulis, hampir 100 seratus tahun. Cerita yang diulang, tragedi cerita yang hampir sama. Emosi yang sama. Jadi penulis ini ada cara. Sebab memang cerita Palestin-Israel, kadang-kadang membuatkan kita rasa kebas. Sebab perkara sama, diulang-ulang. Tetapi dalam masa sama, kita masih tetap marah. Masih emosional. Itu yang menarik tentang buku ini. Sebab tu kita pilih dan (kisah) buku ini berdasar peristiwa sebenar yang terjadi masa konflik masa awal konflik Israel-Palestin dahulu, ada kejadian di padang pasir Palestin, ada budak perempuan kena tangkap dengan pasukan Israel kena rogol ramai-ramai dan kemudian dibunuh.

Jadi, berdasarkan cerita yang memang betul-betul terjadi dan cerita ini bukan cerita biasa tapi ia memang laporan tentera Israel sendiri yang didedahkan, (tapi) tidak ingat tahun bila. Laporan rasmi yang dilaporkan oleh media. Kejadian ini memang betul-betul berlaku. Seorang budak perempuan yang dirogol ramai-ramai. Jadi urutan kejadian sebenarnya memang tragik, memang sadis dan diceritakan semula dalam novel ini. Macam saya sebut tadi, dalam bentuk yang hampir tidak ada perasaan.

Abdul Jabbar: Kalau tengok watak utama (pada) bahagian kedua, hari-hari dia (watak) memang tidak banyak perasaan. Dia lalui hari dengan ‘simple’ (polos). Pergi kerja, balik kerja. Dia tak berfikir panjang. Sampai selalu terlanggar peraturan sebab tidak fikir panjang. Sudah macam agak blur (keliru). Perwatakannya memang macam itu. Saya rasa tulisan Adania Shibli bercerita aliran itu, cantiklah. Bila bercerita pasal kereta bergerak (sebagai contoh), macam ada kamera dalam (satu) babak. Terus cerita macam mana apabila kereta bergerak, kepulauan asap keluar dari bawah tayar contohnya, seolah-olah kamera pergi belakang (pula). Tiba-tiba, kita tidak nampak kereta sebab kena hijab dengan asap. Lepas itu ke tepi pula tengok macam mana askar-askar tutup mata sebab asap pasir terlalu banyak, tutup mata hidung. Lepas itu, seolah-olah kamera bergerak ke atas.

Dia (penulis) tidak bercerita pun tentang pergerakan perspektif itu tapi terus cerita, macam mana garisan tayar yang ditinggalkan itu, dua garisan atas pandang pasir akhirnya ditutup perlahan-lahan oleh pasir. Saya rasa pergerakan macam ada rakaman, bagi saya agak menarik.

Al-Mustaqeem: (Mencelah) Itu salah satu perlambangan ataupun gambaran tentang benda yang terjadi di Palestin. Macam bekas tayar, cepat pasir tutup balik. Jadi, macam mana cerita yang budak perempuan yang ditutup (entah) berapa lama, tidak ada siapa tahu dan selepas berapa puluh tahun baharu terdedah. Kalau kata macam tidak ada perasaan tadi, orang Palestin yang saya pernah jumpa, bersemangat tentang isu negara, isu bangsa Palestin. Tetapi kalau mungkin keluarganya mati, dia masih sedih. Kita kata, bukan ada sifar perasaan tetapi kita boleh rasa yang ada sedikit rasa kebas sebab tragedi itu berulang-ulang setiap hari, sampai rasa macam, ‘ya sedih, tapi esok akan jadi lagi’. Perkara sama, dia tahu.

Jadi sama macam dalam bahagian kedua yang Abdul Jabbar sebut tadi, ada bahagian yang orang tengah buat kerja, nanti bom meletup. Biasalah itu. Jadi kita pergi tutup, letak balik plaster dekat tingkap. Sebab benda sudah lali tapi masih tetap menyayat.

Novel ini terbahagi berapa bahagian? Bagaimana pembahagian tugas?

Al-Mustaqeem: Ada dua bahagian. Bahagian pertama, bila kita baca memang menyayat hati. Tetapi novel ini menarik sebab penulis cerita dengan cara yang kita boleh faham bahawa Palestin ini selalu kalau penceritaan, (atau) beritanya (mesti) menyayat hati tetapi kita sendiri boleh jadi rasa macam lali. Kita sendiri boleh jadi rasa macam kebas. Saya ambil peranan lebih kepada fasa kedua. Jadi fasa pertama Abdul Jabbar terjemah sampai habis. Kemudian fasa kedua, saya tengok balik. Kemudian buat perubahan lain dari situ. Itu proses yang kita guna.

Adakah ilmu baru yang diperoleh sepanjang proses terjemahan?

Abdul Jabbar: Banyak yang saya belajar. Satunya istilah Arab yang kita tak pernah dengar, jadi biasa dengar. Jadi saya berkawan dengan orang Arab pun, ada istilah baharu. Macam perkataan gula-gula getah. Saya tidak tahu pun baris dalam buku itu, sebab tidak ada baris. Saya ingat perkataannya ‘da’lakah’. Jadi, semasa berbual dengan orang Arab, saya tahulah barisnya sebenarnya ‘ilkah’ yang selalu digunakan oleh orang sana. Sebenarnya dari awal terjemah, saya ada buat silap, jadi Mustaqeem terangkan, ini ertinya macam ini. Saya pun fikir balik, kita faham, oh ini yang betul. Kira-kira (fikir) panjang, perlahan-lahan erti yang kita tidak faham itu masuk (ke fikiran).

Kita pun proses, maju ke depan. Ulang proses sama. Jadi banyaklah yang saya belajar daripada istilah baharu, cara penceritaan Adania Shibli yang sangat menarik. Hasil akhir daripada kosa kata Melayu pun banyak yang saya dapat baiki selepas nampak hasil akhir berbanding draf pertama. Dengan hasil akhir itu, ada beberapa perbezaan antaranya penggunaan perkataan yang lebih berani seperti mampus.

Al-Mustaqeem: Saya rasa benda paling baharu apabila berurusan dengan karya Adania Shibli, ini karya sastera yang tidak berbunga-bunga. Saya sangat selesa menterjemah Najib Mahfuz (sasterawan tersohor Arab) sebagai contoh. Dengan Adania Shibli, saya tidak selesa. Saya tidak biasa dengan sastera yang tidak berbunga-bunga.

Apakah cabaran ketika menterjemah karya itu?

Al-Mustaqeem: Cabarannya, macam mana hendak buat ayat yang berkesan, cantik, bunyi sedap tapi tidak berbunga-bunga. Jadi lebih kurang macam sajaklah. Kalau katakan sajak, biasanya orang buat bagi bunga-bunga hendak bagi sedap. Kemudian ada pula satu segi sajak jenis sajak perjuangan, keras. Pak (A) Samad (Said) kata macam askar berbaris. Tetapi jumpa orang yang boleh menulis sajak dalam bahasa mudah tanpa terlampau banyak bunga-bunga, yang penggunaan perkataan minimum, contoh macam sajak Pak Sapardi (Djoko Damono) sangat-sangat jarang. Saya rasa macam (WS) Rendra pun. Ini pandangan peribadi saya, rasa tidak berjaya sangat macam Tongkat Warant (atau) Usman Awang. Bahasa biasa tapi masih perlu bunga-bunga dan kadang-kadang bila dia terlalu langsung, sajak jadi tidak sedap pula.

Jadi, cabaran menangani Adania Shibli dalam novel Perincian dengan bahasa yang hampir tidak ada perasaan, bunga-bunga langsung tidak ada tetapi masih boleh dianggap sebagai karya sastera. Itu cabarannya masa terjemah (novel) Adania Shibli.

[caption id="attachment_686827" align="alignnone" width="500"] Adania Shibli, penulis kelahiran Palestin[/caption]

Abdul Jabbar: Saya suka subjek nahu dan sorof (tatabahasa Arab). Apabila baca buku buku Arab, teks agama, kita tahu bentuk (ayat) dia. Nahu sorof dia senang. Kita rasa seronok baca. Bila kita baca buku sastera, baca sekejap tiba-tiba hilang nahu sorof dia. (Ketawa). Saya pun tertanya-tanya. Jadi makan masa. Berhenti dan jangan fikir sangat perkara itu. Itu antara cabarannya, apabila kita terlalu fokus kepada nahu. Kedua, pemilihan perkataan, gaya bahasa, semuanya sangat berbeza. Mesti rujuk kamus, jaranglah kalau tidak rujuk. Kalau terjemah apa bahasa pun, mesti rujuk kamus untuk mendapatkan definisi supaya tidak tersasar. Kita mahu perkataan yang paling dekat maksudnya, agak rumit sebenarnya.

Boleh jelaskan proses perterjemahan dari awal hingga akhir?

Al-Mustaqeem: Prosesnya agak lama sedikit pada tahap kita hendak minta izin penerbit asal dan sementara dapat persetujuan daripada penulis asal. (Keizinan) penerbit dan penulis asal agak lambat sebab, rupa-rupanya Adania Shibli cermat. Dia sangat cermat. Selepas kita mohon izin untuk terjemah dan terbit daripada penerbit asal, mesti berhubung dengan pengaranglah, jadi rupanya baharu kita tahu, ada beberapa penerbit lain daripada Malaysia yang juga minta izin untuk terjemah dan terbitkan. Jadi Adania hendak pilih yang mana satu. Pada tahap itu, kita rasa ‘alamak’, kita boleh dapat ke tidak? Tapi alhamdulillah, akhirnya Adania pilih IBDE.

Berapa lamakah untuk dapat lampu hijau Adania sebelum memulakan penterjemahan?

Al-Mustaqeem: Kalau tidak silap, Adania ada merujuk kawan-kawan dia di sini dari kalangan sasterawan yang akhirnya membuat keputusan untuk memilih IBDE. Jadi, kita tunggu agak lama untuk beri keputusan. Saya tidak ingat berapa lama, mungkin dua tiga bulan. Kemudian, proses terjemah, kita buat beberapa perjumpaan dengan Abdul Jabbar. Itu makan masa sedikit. Pada peringkat awal, Abdul Jabbar buat dulu beberapa muka surat, kemudian kita duduk semula. Kemudian buat balik dan sambung balik bakinya. Itupun makan masa empat atau lima bulan. Kemudian proses suntingan makan masa tiga bulan lagi.

Jadi, kita boleh kata prosesnya hampir setahun?

Al-Mustaqeem: Ya, hampir setahun. Kemudian apabila sampai tahap kepada reka bentuk dan penentuan tajuk, itu pun ambil masa. Kita berbolak balik antara IBDE dan Adania. Adania punya teliti sampai hendak tengok macam mana kulit buku, apa tajuk dalam bahasa Melayu. Jadi tajuk yang awal kita cadangkan kena tolak, (cadangan) tajuk kedua pun kena tolak sampai ke tahap kita bersetuju menggunakan judul Perincian. Tajuk dan kulit buku itu atas persetujuan Adania Shibli sendiri. Proses itu sahaja memakan masa lebih sebulan. Jadi, lebih kurang setahun walaupun novel itu pendek sahaja.

Bagaimana proses penterjemahan teks?

Al-Mustaqeem: (Untuk) proses penterjemahan, Abdul Jabbar buat semua. Sudah selesai, editor masuk dulu (untuk suntingan). Saya masuk kemudian. Jadi, peranan saya sebagai penterjemah juga. Cuma lebih kepada tengok terjemahan lebih dekat atau hampir sama dengan teks asal. Lebih tepat, pada satu-satu penggunaan. Contohnya yang saya buat pembetulan, cerita dalam kem tentera. Komandan ini ada mengguna satu bekas air untuk dimasukkan tuala untuk cuci muka dan badannya. Ini karya sastera dan kita tidak boleh sebut bekas air. (Jadi) apa nama bekas air itu? Bekas air itu kita kena bayangkan pula dibuat daripada plastik, logam atau kaca. Ini cerita di kem tentera, bekasnya mestilah logam. Bekas air logam dalam bahasa Melayu apa namanya? Jadi, itulah tugas saya. Jadi kalau Abdul Jabbar pakai mangkuk, saya kena tukarlah. Jadi, itu pembetulan yang saya buat. Kita tengok perincian satu-satu (perkataan). Kalau sebut senapang, saya semak balik, ini pistol, senapang atau mesingan. Kita cari balik supaya lebih tepat.

Jadi sasteranya dekat situ. Sastera dalam karya asal pun (terletak) pada pemilihan perkataannya, falsafahnya. Dalam terjemahan pula, aspek sasteranya adalah mencari perkataan tepat dan kena dengan suasana. Jadi dalam proses menterjemah, kita kena sentiasa bayangkan. Bahagian pertama novel berlaku tahun 1940-an, sebahagian di padang pasir. Bahagian kedua mencerita pada 25 tahun kemudiannya, di kawasan yang sebahagiannya menjadi Israel. Bila kita baca, kita akan tahu, peta (Palestin) berubah-ubah. Ada bangunan, ada ‘check point’. Dalam fikiran penterjemah, gambaran itu kena sentiasa ada. Kena sentiasa sedar di bahagian pertama di padang pasir, bahagian kedua ada rumah yang kena tinggal sebab tuan asal sudah lari dihalau Israel. Kacau bilau itu kita kena bayangkan. Macam Abdul Jabbar cakap tadi, kereta berhenti tepi askar. Askar yang tutup muka. Kena bayangkan semua. Kalau tidak, kita tidak boleh terjemah.

Bagaimana hubungan bahagian satu dan dua, ada beri petunjuk?

Al-Mustaqeem: (Mencelah) Petunjuk setakat laporan kejadian yang berlaku 25 tahun sebelum itu. Itu sahaja. Memang pun, konflik Palestin dan Isreal pada masa lalu dan masa sekarang ini, ada hubungan dan ada yang kita banyak lupa. Banyak sempadan yang kena padam. Ada watak duduk di sebelah Isreal atau sebelah Palestin. (Dalam) konflik Palestin Isreal ini, kita tidak tahu di mana sempadan.

Bahagian mana yang memberi kesan emosi ketika menterjemah?

Abdul Jabbar: Saya sendiri (bahagian) yang paling terkesan sebenarnya pada muka surat terakhir. Seperti Mustaqeem kata tadi, watak bahagian kedua dalam karya ini sudah kebas. Bila dia (watak) buat sesuatu, kalau boleh dia tidak hendak langgar sempadan tetapi dia sendiri tidak dapat bezakan yang mana sempadan. Jadi, pada bahagian terakhir, akhirnya kekebasan memakan diri. Itu yang saya rasa.

Al-Mustaqeem: Krisis Palestin Israel ini apabila terjadi sesuatu memang kita jadi marah, rasa terganggu, emosional. Tetapi, yang ini kita tahu, kita baca tentang perkara yang sama. Saya ikuti isu Palestin-Israel semasa jadi wartawan awal tahun 2000. Yang saya baca banyak. Kadang-kadang, saya menterjemah berita dari akhbar Israel, Mesir dan Timur Tengah. Berita tentang Israel dan Palestin, ceritanya sama, hanya ubah nama tempat, ubah nama watak. Tetapi yang berlaku selalu, benda yang sama. Budak kena bunuh, kawasan kena ceroboh, tanah kena rampas. Jadi cerita dia sama. Masa saya menterjemah, sudah tidak (emosional), kita sudah lali. Bukan kita tak marah, masih lagi marah. Masih lagi anti-Israel, masih lagi kasihan dekat Palestin tetapi ada kesan lali dan ada rasa kebas. Cuma saya tertarik dengan cara dan kemahiran pengarang ini yang berbeza daripada karya lain yang pernah saya kendali.

Adakah ia antara sebab novel ini menang anugerah antarabangsa?

Al-Mustaqeem: Mungkin sebab utama kerana kemahiran dia. Sebab ada banyak perlambangan, seperti yang disebut Abdul Jabbar sebut tadi (tentang) kesan tayar. Dan mengenai darah unta yang meresap dalam pasir.

Bahagian satu dan bahagian dua, yang mana memberi menarik perhatian?

Al-Mustaqeem: Sama sahaja. Bahagian kedua itu lebih menceritakan tentang akibat. Maknanya, apa yang terjadi pada bahagian pertama pada peringkat awal Isreal ditubuh. Bahagian kedua tentang akibat, selepas pembentukan Israel. Tetapi penulis tidak terlalu politikal.

Mengapa tidak terlalu politikal?

Al-Mustaqeem: Dia (penulis) tidak kata Isreal jahat, atau tidak kata Palestin baik atau sebaliknya. Tidak. Buku ini merakam apa yang terjadi. Ia merakam dari sisi yang spesifik terutama cerita-cerita yang dilupakan. Hal-hal kecil yang terjadi tetapi memberi kesan sampai puluhan tahun. Dari satu sudut, kita boleh kata ia cerita kemanusiaan. Saya boleh buat andaian, dia (penulis) tidak mahu ambil dari sisi politik, nanti menyebabkan orang juling dan berpihak kepada benda yang tidak semestinya betul. Jadi, kita boleh kata penulis memilih untuk bercerita tentang sebuah tragedi kemanusiaan.

Bagi saya secara peribadi, konflik Israel-Palestin sebuah tragedi kemanusiaan. Bagaimana satu kaum, pada satu masa pada zaman Hitler, kena tindas, dibunuh beramai-ramai, akhirnya menjadi penindas. Inikan tragedi kemanusiaan. Ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Kita boleh tukar nama Isreal kepada kaum lain. Ini boleh terjadi dan banyak tempat memang terjadi pun. Cuma kes Palestin-Israel terjadi dalam skala besar dan berpanjangan selama puluhan tahun. Negara yang dulu mahu membela kaum yang tertindas, sekarang ini menjadi kaum penindas. Jadi, ini tragedi kemanusiaan lebih daripada sebab politik.

Kalau soal politik pula, nanti masuk cerita Hamas lain, PLO (Palestine Liberation Organization) lain, Fatah lain. Israel pula jangan anggap Israel itu tunggal. Ada Israel yang liberal, ada yang ortodoks, yang protentera, ada yang prodamai. Mungkin penulis lebih melihat ini dari sudut tragedi kemanusiaan dan akibatnya kepada satu bangsa. Yang menerima kesan buruk bukan setakat Palestin. Jadi, dalam watak bahagian pertama, komandan yang merogol pun ada dilema dalam tugasnya melalui pelambangan ketika digigit labah-labah. Dalam keadaan sakit macam itu pun, sudah sakit, daging mula mereput tetapi kerja menindas kena terus. Nampak? Pembunuh bukan sahaja kena bunuh mangsa tetapi dia bunuh jiwanya.

Mesej atau pengajaran yang boleh dijadikan iktibar?

Abdul Jabbar: Penulis dalam buku ini semampu mungkin dan saya kira berjaya (tampil) bahagian perincian. Antara teknik saya perasan adalah menghindari penggunaan kata nama untuk orang-orang yang sengaja tidak dinamakan seperti komandan tidak ada nama. (Nama) tempat-tempat memang ada kata nama seperti Ramallah, gurun Naqab. Semua tempat itu memang ada nama. Tetapi orang yang tidak sepatutnya dinamakan, tidak namakan. Bahagian kedua, watak perempuan yang menjadi hakikat yang berlaku pada kes pertama pun tidak ada nama. Bila tidak namakan, maksudnya berjayalah. Macam bulanlah. Bila bulan tak ada, bintang nampaklah. Sama. Bila kita padam benda yang selalu cerah, benda kecil jadi jelas dan nyata. Itu yang saya dapat. Perincian selalunya penting. Penting dari sudut hendak tentukan sesuatu benda itu A, atau B kadang-kadang ia memang tidak bererti. Kadang-kadang, ada tujuan dan erti perinciannya.

Al-Mustaqeem: Saya tidak rasa novel ini tentang iktibar. Novel ini bercerita untuk kita dapat gambaran yang terjadi. Mungkin apabila baca novel ini, andaian saya, penulis mahu melihat apa yang terjadi adalah tragedi kemanusiaan. Orang akan sentiasa ingat. Kalau orang yang sentiasa terlibat selepas konflik ini, akan melihat ia tragedi kemanusiaan, lebih dari isu agama, politik, kaum.

Mengapa novel ini patut dimiliki, dibeli dan dibaca?

Abdul Jabbar: Saya rasa pengiktirafan global. Global merasakan buku ini bagus dan semampunya kita mahu sumbangkan yang terbaik supaya kita tidak membazir tenaga dan masa.

Al-Mustaqeem: Macam saya sebut tadi, konflik Israel Palestin ini kita tidak sepatutnya cuma angkat bendera Palestin sana sini, pelekat bendera palestin dekat motosikal, pakai baju Palestin, pakai serban macam orang Palestin, pakai tudung lambang Palestin, tapi kita tidak tahu, apa perincian apa yang terjadi dekat sana. Jadi yang kita sokong dan kasihan ini apa? Kalau kita sayang Palestin, kena bacalah apa sahaja cerita mengenai Palestin. Apa sahaja berkaitan konflik kena bacalah. Sekalipun yang kita baca buku lain, dari sudut perspektif Isreal sebagai contoh, kena baca juga. Kalau kita anggap Israel sebagai musuh dalam konflik perang, kita kena kenal musuh.

Tambahan lagi, novel ini, lebih sudut pandang kepada tragadi kemanusiaan. Saya rasa lebih-lebih lagilah (kena baca). Jadi, kita bukan sahaja tengok gambar emak pegang anak mati, bapa pegang mayat anak, tapi kita baca lebih terperinci. Ini bukan satu-satu novel yang kita baca dan faham semua benda. Tidak. Maksud saya, ini salah satu yang mesti dibaca.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.