SHAH ALAM, 14 FEB: Pendekatan Selangor dalam menyalur bantuan adalah bagi memberdaya rakyatnya, bukan sekadar membantu secara langsung yang boleh mewujudkan kebergantungan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setiap bantuan yang diberikan bertujuan mengeluarkan penerima daripada masalah ekonomi secara berperingkat dan memperkukuh struktur ekonomi mereka.
Jelasnya, walaupun diakui mengambil masa, namun cara itu diyakini lebih mampan untuk memastikan ekonomi negeri kukuh dengan rakyat sebagai asas utama yang diperkasakan.
“Pendekatan kita bukan hanya memberi. Konsepnya adalah pemerkasaan atau pemberdayaan. Jadi setiap bantuan itu, niatnya adalah untuk untuk keluarkan mereka dari masalah bukan untuk masa itu saja,” katanya.
Amirudin berkata demikian dalam program Analisis Madani: Transformasi Selangor, Ekonomi Pendidikan dan Infrastruktur terbitan TVAlhijrah malam tadi. Program itu turut mengundang Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Menurut Amirudin program Hijrah Selangor iaitu bantuan pinjaman mikrokredit yang diperkenal sejak 2009 telah melahirkan kira-kira 62,000 alumni peniaga mikrokredit yang menerima manfaat program itu.
Selain itu, program Platform Selangor (PLATS) yang diperkenal pada 2020 bagi membantu peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 telah mencapai 40,000 peniaga berdaftar.
“Bermula dengan hanya 132 peniaga ketika mula PLATS diperkenal, kini sudah hampir 40,000 berdaftar dankita bantu mereka untuk memperbesarkan perniagaan dengan pelbagai kemudahan,” katanya.