ad
AGENDA

MB arah pejabat daerah dan tanah semak, kesan pindah milik tidak sah

14 Feb 2025, 12:46 AM
MB arah pejabat daerah dan tanah semak, kesan pindah milik tidak sah

SHAH ALAM, 14 FEB: Semua pejabat daerah dan tanah (PDT) negeri sudah diarah menyemak kemungkinan kebocoran dalam sistem pendaftaran tanah sekali gus mengesan sekiranya wujud isu pindah milik tanah secara tidak sah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau mengeluarkan arahan itu dalam mesyuarat jawatankuasa tanah baru-baru ini susulan siasatan manipulasi pindah milik tanah ketika peralihan kaedah konvensional kepada sistem e-Tanah.

“Saya minta semua PDT untuk semak semua, apakah berlaku kebocoran seperti itu kerana ia menyebabkan kerugian selain daripada persepsi dan tanggapan terhadap pindah milik,” katanya.

Amirudin berkata demikian dalam program Analisis Madani: Transformasi Selangor, Ekonomi Pendidikan dan Infrastruktur terbitan TVAlhijrah malam tadi yang turut mengundang Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Amirudin menegaskan tanah merupakan sumber utama negeri, justeru jika perkara itu berterusan berlaku, ia bukan saja mendatangkan kerugian tetapi merencatkan usaha pembangunan yang ingin direncana Negeri atau pemilik tanah.

Sebelum ini, Amirudin berkata agensi kerajaan akan mengendalikan pengauditan dan siasatan dalaman sebagai langkah mengesan pihak terbabit berkaitan isu pindah milik tanah secara tidak sah.

Ia susulan, saranan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman yang menyarankan agensi kerajaan termasuk PDT melakukan audit serta siasatan dalaman bagi mengesan pihak lain yang terbabit kegiatan kartel pindah milik tanah.

Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya bersedia menjalankan siasatan menyeluruh sekiranya terdapat bukti mengaitkan PDT lain turut melakukan jenayah terbabit.

Media sebelum ini melaporkan seramai 17 individu ditahan dalam tangkapan berasingan sejak September tahun lalu berikutan disyaki terbabit kartel pindah milik tanah.

Setakat 27 Januari, tujuh kes sedang disiasat membabitkan tanah seluas 21 ekar atau lebih 9.4 hektar dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM7.1 juta.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.