ad
AGENDA

Selangor perkukuh pendidikan, sedia inisiatif peringkat rendah hingga pengajian tinggi

14 Feb 2025, 12:00 AM
Selangor perkukuh pendidikan, sedia inisiatif peringkat rendah hingga pengajian tinggi
Selangor perkukuh pendidikan, sedia inisiatif peringkat rendah hingga pengajian tinggi
Selangor perkukuh pendidikan, sedia inisiatif peringkat rendah hingga pengajian tinggi

SHAH ALAM, 14 FEB: Selangor terus memperkukuh pendidikan dengan menawarkan pelbagai inisiatif daripada peringkat rendah hingga ke pengajian tinggi, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) merupakan antara usaha utama yang telah memanfaatkan lebih 120,000 pelajar dengan peruntukan RM10 juta setahun.

“120,000 ini adalah dalam kalangan yang kita dapati tidak mampu pergi tuisyen atau prestasi tidak begitu baik ketika tingkatan tiga dan empat dan mereka perlu lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kita bantu paling tidak minimum dapat sijil SPM.

[caption id="attachment_657526" align="aligncenter" width="686"] Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 yang telah dilancarkan oleh Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Untuk masuk universiti, ada hadiah RM1,000. Selain itu, pinjaman biasiswa negeri, program Bitara yang menaja seorang pelajar mungkin setahun RM1 juta kerana kita mahu hantar dia belajar di ‘ivy league’ universiti.

“Dari sekecil-kecil nak lulus peperiksaan sampai masuk ke universiti. Kita juga sediakan RM30 juta untuk program teknikal dan vokasional selain kerjasama dengan syarikat Apple , Siemens, Festo dan Dassault System untuk latihan berkemahiran tinggi,” katanya.

Amirudin berkata demikian dalam program Analisis Madani: Transformasi Selangor, Ekonomi Pendidikan dan Infrastruktur terbitan TVAlhijrah malam tadi. Program itu turut mengundang Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Amirudin menambah pendidikan kerohanian turut diberi perhatian dengan program pencerahan dan penerbitan bahan bacaan berkualiti, ini termasuk terjemahan lebih 50 judul buku, antaranya karya agung Ihya Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali.

Menurutnya lagi, tahun ini, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Festival Turath Islami 3.0 yang menghimpunkan ulama tersohor dari Al-Azhar, India, Pakistan dan Nusantara termasuk Malaysia dan Indonesia dengan jangkaan kehadiran lebih 15,000 pengunjung.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan Festival Turath Islami Selangor yang dianjur sejak 2023 bagi menyuburkan syiar Islam akan diteruskan pada Julai tahun ini dalam skala lebih besar.

Menurutnya, program tersebut akan menghimpunkan tokoh agama tempatan dan luar negara antaranya dari India, Pakistan dan Maghribi termasuk bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab.

[caption id="attachment_684906" align="aligncenter" width="706"] Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah (dua, kiri) menyampaikan syarahan ketika program Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor di masjid negeri, Shah Alam pada 31 Mei 2024. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan). FOTO HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.