SHAH ALAM, 13 FEB: Kerajaan Negeri melaksanakan operasi menangkap lembu yang berkeliaran di ladang SD Guthrie, Sabak Bernam bermula semalam dan hari ini.
EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata kegiatan ternakan lembu secara bebas di ladang berkenaan telah menimbulkan pelbagai risiko keselamatan kepada penduduk setempat.
"Tindakan melibatkan pemasangan perangkap untuk menangkap lembu yang berkeliaran di kawasan ladang sebelum dipindahkan ke kawasan tahanan sementara di Kampung Tebuk Jawa, Sabak Bernam," katanya dalam kenyataan.
Menurut Rizam, Kerajaan Negeri sebelum ini telah mencadangkan tiga lokasi alternatif dalam daerah Sabak Bernam untuk digunakan sebagai tapak pemindahan operasi penternakan.
Namun, masih terdapat penternak yang enggan memberi kerjasama dan meneruskan aktiviti secara tidak sah di kawasan ladang tersebut.
Sehubungan itu, Rizam juga menasihatkan penduduk agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap ternakan yang berkeliaran bagi mengelak insiden tidak diingini.
"Sebarang aduan berkaitan lembu yang dibiarkan bebas hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk tindakan lanjut.
"Pada masa yang sama, para penternak diminta memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa, termasuk mematuhi arahan pemindahan.
"Kerjasama ini penting bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan keselamatan penduduk setempat dan operasi ladang," katanya.
Agensi terlibat dalam operasi berkenaan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam, polis, Pejabat Perkhidmatan Veterinar Sabak Bernam dan polis bantuan Ladang SD Guthrie.