SHAH ALAM, 13 FEB: Pesara swasta kerugian RM1.7 juta selepas terperdaya dengan prospek pelaburan diberikan individu yang menggunakan gelaran 'Profesor'.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mangsa berusia 67 tahun itu, pada Ogos lalu terjumpa platform pelaburan saham dikenali Pelaburan UVKXE di laman Facebook dan dimasukkan ke dalam kumpulan perbualan WhatsApp ditadbir oleh individu dengan nama Prof Lim dan Branda Ng.
Beliau berkata mangsa dijanjikan pulangan lumayan dan diyakinkan untuk membuat pelaburan saham dalam dan luar negara, dengan warga emas itu diminta membuat 16 transaksi melibatkan enam akaun bank berbeza berjumlah RM1.7 juta.
[caption id="attachment_647376" align="alignleft" width="500"] Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan. Foto BERNAMA[/caption]
“Pada Oktober lalu, Prof Lim menyatakan pelaburan di Malaysia dan Amerika Syarikat telah mencapai kemuncak lalu mencadangkan mangsa melabur dalam pasaran mata wang bitcoin dan kripto.
“Mangsa sedar telah diperdaya apabila dia gagal memperoleh keuntungan seperti dijanjikan sekali gus kerugian RM1.7 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mengenal pasti modus operandi yang digunakan adalah dengan memperdayakan mangsa menerusi iklan di Facebook.
Hussein menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan tawaran pelaburan dalam media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, khususnya menerusi aplikasi telefon bimbit serta tiada kelulusan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA