ad
BERITA UTAMA

Negeri senarai hitam peniaga bazar Ramadan jual permit kepada pihak ketiga

13 Feb 2025, 6:01 AM
Negeri senarai hitam peniaga bazar Ramadan jual permit kepada pihak ketiga

OLEH DANIAL DZULKIFLY

PUCHONG, 13 FEB: Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak menyenarai hitam peniaga bazar Ramadan yang 'ditangkap' menjual permit mereka kepada pihak ketiga, tegas EXCO keusahawanan.

Mohd Najwan Halimi berkata, tindakan tegas juga dikenakan kepada penjaja yang dikesan menjalankan operasi tanpa permit bagi memastikan peniaga berlesen tidak tertindas.

"Kami tidak akan berkompromi terutama dengan peniaga yang beroperasi tanpa permit. Ini bagi memastikan peniaga berlesen diberi ruang untuk beroperasi tanpa gangguan.

"Begitu juga dengan mereka yang terlibat dalam budaya ‘Ali Baba’. Kami akan melakukan pemantauan berterusan dan menyenarai hitamkan mereka yang menjual permit kepada pihak ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat dan penyerahan bazar Ramadan di kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dekat Dewan Serbagunanya Puchong Indah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Najwan mengingatkan peniaga bazar Ramadan agar tidak terlalu ghairah mengaut keuntungan hingga mengabaikan kebersihan dan kualiti makanan yang akhirnya menjejaskan semua pihak.

“Setiap tahun, kami lihat orang ramai berkongsi cerita yang sama mengenai makanan yang dibeli di bazar Ramadan, sama ada terlalu mahal atau tidak berkualiti di media sosial.

"Jadi, peniaga mesti lebih berhati-hati. Kesannya, orang ramai akan cenderung menyalahkan seluruh bazar dan bukannya hanya satu gerai, jadi tolong, jangan ambil mudah peluang ini," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Subang Jaya Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata MBSJ memperuntukkan 1,367 lot niaga di 21 lokasi di Subang Jaya, Kinrara, Puchong, Putra Heights, dan Serdang/Seri Kembangan tahun ini.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa mereka yang menjual atau memajak permit mereka akan dibatalkan serta-merta lesen mereka.

Amaran itu susulan dakwaan lot bazar Ramadan di Kuala Lumpur dijual semula dengan harga lebih RM30,000.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.