KUALA LUMPUR, 12 FEB: Cuaca panas dan kering dijangka melanda kebanyakan tempat terutamanya di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak serta Pahang dan Kelantan bermula bulan ini sehingga Mei.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata negara kini berada pada fasa penghujung Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pertengahan Mac dan dalam tempoh itu, litupan awan serta taburan hujan berkurangan.
“Ketiadaan hujan dalam tempoh panjang boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.
“Situasi cuaca panas dan kering yang dialami ketika ini adalah fenomena berulang yang berlaku setiap tahun bermula Februari hingga Mei,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Hisham berkata dalam tempoh itu, catatan suhu harian tertinggi boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang.
Beliau berkata bacaan suhu tertinggi yang dicatat di stesen jabatan itu seluruh negara semalam adalah 36.1 darjah Celsius yang direkod di Felda Teloi Kanan, Baling, Kedah.
Selain itu, gelombang haba dan jerebu setempat juga berpotensi berlaku dalam tempoh berkenaan, namun keadaan itu diramal tidak seteruk tahun lalu disebabkan pengaruh La Nina lemah yang berlaku sekarang dan dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun ini.
Mohd Hisham berkata dalam keadaan cuaca panas dan kering, semua pihak dinasihatkan mengambil langkah penjimatan penggunaan air serta mengelakkan pembakaran terbuka serta mengehadkan tempoh berada di kawasan terbuka.
Katanya MetMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan orang ramai disaran peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.
Sementara itu, Mohd Hisham menerusi ramalan cuaca signifikan yang dikeluarkan pada 12.30 tengah hari memaklumkan ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh lebih panjang dijangka berlaku di Sarawak selama tiga hari mulai 17 Februari.
“Berdasarkan analisis model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak dari 17 sehingga 19 Februari dan keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh lebih panjang di kawasan itu,” katanya.
- BERNAMA