SHAH ALAM, 12 FEB: Sebanyak enam sekolah di Shah Alam akan menerima bilik darjah kabin menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) tahun ini, bagi mengatasi isu kepadatan murid.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, SK Seksyen 19, SK Setia Alam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, SMK Seksyen 16 dan SMK Alam Megah.
“Kabin yang dibina bukan seperti kabin biasa. Ia serupa dengan bilik darjah sedia ada dan kondusif. Projek pembinaan kelas ini menggunakan teknologi IBS.
“Pembinaan bilik darjah kabin menggunakan teknologi IBS ini sudah dilaksanakan di SK Cyberjaya pada 2024. Kita dapat selesaikan dan redakan isu sekolah padat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof mengenai langkah Kementerian Pendidikan mengatasi isu kepadatan murid dalam mewujudkan suasana pembelajaran kondusif dan berkualiti di sekolah.
Selain itu, katanya Kementerian Pendidikan melaksana pelbagai insiatif bagi memastikan setiap murid menerima pendidikan yang holistik dan inklusif, tanpa mengira latar belakang.
“Kementerian Pendidikan amat cakna dan tidak akan berkrompomi dengan isu kehadiran, keciciran dan akses pendidikan berkualiti.
“Antaranya melalui program ziarah cakna bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan, hala tuju pendidikan dan bimbingan kerjaya kepada murid yang berisiko.
“Selain itu, penyediaan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC), modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) serta modul kajian kes dan amalan terbaik sebagai panduan kepada guru bimbingan dan kaunseling dalam membantu murid berisiko cicir yang memerlukan bimbingan,” katanya.