SHAH ALAM, 12 FEB: Sebanyak 72,864 unit merangkumi 101 projek perumahan mampu milik disediakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan setakat 31 Januari, maklum menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Dr Zaliha Mustafa berkata jumlah itu merangkumi projek siap, dalam pembinaan dan telah mendapat perintah pembangunan, sekali gus mencapai 91 peratus sasaran penyediaan 80,000 rumah mampu milik di wilayah itu bagi tempoh 10 tahun.
Beliau menjelaskan menerusi Program Residensi Wilayah dan Residensi Madani, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menyasarkan pembinaan 80,000 rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun mulai 2018 hingga 2028.
“Saya percaya baki lebih kurang 7,000 unit lagi akan dapat kita capai dalam tempoh berbaki tiga tahun lagi.
“Kejayaan ini juga merupakan hasil perancangan teliti JWP bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawahnya menerusi insentif dan kemudahan disediakan untuk pemaju perumahan yang bersama-sama Kerajaan dalam usaha membangunkan perumahan mampu milik di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai langkah kerajaan merancakkan pembangunan perumahan mampu milik di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
[caption id="attachment_572023" align="alignleft" width="396"] Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 16 Mac 2023. Foto BERNAMA[/caption]
Mengulas lanjut, Zaliha berkata sebanyak 139 tapak dengan keluasan 1228.96 hektar dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi untuk pembangunan semula di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) yang diwartakan pada 19 Oktober 2023 dan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (DPTKL2040).
“Sehingga 31 Januari lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima 28 permohonan daripada pemaju melibatkan pembangunan semula perumahan lama di Persekutuan Kuala Lumpur.
“Menerusi pembangunan semula ini, Kerajaan bukan sahaja menyediakan rumah gantian kepada penduduk yang terlibat tetapi juga akan melibatkan tambahan kepada pembangunan rumah mampu milik sedia ada di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Menurutnya, Garis Panduan Perancangan Residensi Madani khususnya di Kuala Lumpur yang berkuat kuasa pada Mei 2024, menetapkan bagi keluasan tanah melebihi lima ekar, pemaju perumahan dikehendaki menyediakan sekurang-kurangnya minimum 20 peratus pembangunan Residensi Madani.
“Sekiranya Kerajaan berpandangan tiada permintaan Residensi Madani di kawasan tersebut atau pihak pemaju tidak dapat menyediakan komponen Residensi Madani, garis panduan ini bersifat fleksibel.
“Pemaju perumahan perlu membangunkan kemudahan masyarakat berdasarkan nilaian sama kepada bilangan unit Residensi Madani yang perlu disediakan sebagaimana yang ditetapkan dalam Perintah Pembangunan.
“Menerusi kesemua perancangan ini, saya percaya bekalan rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan akan sentiasa mencukupi dan akan pastikan pembangunan perumahan mampu milik akan datang di Wilayah Persekutuan turut mengambil kira permintaan mengikut keperluan lokaliti memandangkan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan mempunyai keperluan berbeza,” katanya.