ad
AGENDA

Doktor, usahawan rugi lebih RM560,000, ditipu sindiket pelaburan dalam talian

11 Feb 2025, 1:06 PM
Doktor, usahawan rugi lebih RM560,000, ditipu sindiket pelaburan dalam talian

KUANTAN, 11 FEB: Dua wanita kerugian RM565,200 selepas masing-masing terperdaya dengan skim pelaburan dan sindiket penipuan dalam talian di Pahang.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kes pertama melibatkan doktor berusia 44 tahun yang kerugian RM433,700 selepas tertarik dengan iklan pelaburan bitcoin menerusi Telegram pada Julai tahun lalu.

Beliau berkata mangsa diminta menekan pautan yang menyambungkannya kepada aplikasi WhatsApp pentadbir pelaburan terbabit yang menawarkan beberapa pakej pelaburan, serendah RM500 hingga RM5,000.

“Mangsa memilih pakej asas dengan modal RM500 yang menjanjikan keuntungan RM15,000 dalam masa tiga jam. Sepanjang tempoh pelaburan, mangsa membuat pembayaran 22 kali ke dalam 16 akaun berlainan secara berperingkat berjumlah RM433,700.

“Mangsa bagaimanapun, langsung tidak mendapat sebarang pulangan dan berasa ditipu apabila wang pelaburannya tidak dikembalikan lalu membuat laporan polis,” katanya.

Dalam kes kedua pula, Yahaya berkata ahli perniagaan berusia 61 tahun kerugian RM131,500 selepas mendapat panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes kecurian elektrik di rumahnya Januari lalu.

Beliau berkata suspek juga menakutkan warga emas itu bahawa dia terbabit dalam kegiatan wang haram dan menyambungkan panggilan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan, kononnya untuk bercakap dengan pegawai polis berpangkat Inspektor.

“Suspek meminta mangsa membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan dan mangsa membuat pindahan wang 26 kali berjumlah RM131,500. Wang berkenaan ialah wang simpanan peribadi dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mangsa.

“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila dia dihubungi sekali lagi untuk memasukkan wang. Justeru, pihak polis menasihati orang ramai membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.