ad
AGENDA

Mangsa banjir Sabah, Sarawak menurun kepada 1,775 orang takat 4 petang

11 Feb 2025, 11:40 AM
Mangsa banjir Sabah, Sarawak menurun kepada 1,775 orang takat 4 petang

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak menurun kepada 1,775 orang setakat 4 petang ini berbanding 2,062 orang pagi tadi.

Di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa menurun kepada 1,040 orang daripada 326 keluarga berbanding 1,061 orang daripada 332 keluarga pagi tadi.

Seramai 707 orang (234 keluarga) ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Beaufort, 232 orang (58 keluarga) di dua PPS di daerah Kinabatangan, manakala 101 orang (34 keluarga) di sebuah PPS di daerah Membakut.

Menurut kenyataan itu, 18 kampung terjejas akibat banjir dengan 13 daripadanya di Membakut, tiga di Beaufort dan dua di Kinabatangan.

"Trend pemindahan mangsa banjir di daerah Membakut menurun, manakala daerah lain kekal pada 4 petang ini," menurut sekretariat itu.

Jumlah mangsa banjir di Sarawak juga mencatatkan penurunan kepada 735 orang petang ini berbanding 1,001 orang pagi tadi dengan dua lagi PPS, masing-masing di Miri dan Bintulu ditutup petang ini, menjadikan jumlah PPS yang masih beroperasi menurun kepada tujuh.

Menurut JPBN Sarawak, seramai 438 orang berlindung di tiga PPS di bahagian Mukah, 210 orang di dua PPS di Miri, 84 orang di sebuah PPS di Bintulu dan tiga orang di sebuah PPS di Sibu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.