ad
SELANGOR

Remaja 19 tahun lemas ketika beriadah di Sungai Kedondong

11 Feb 2025, 9:09 AM
Remaja 19 tahun lemas ketika beriadah di Sungai Kedondong

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas di Taman Rekreasi Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Selangor, tengah hari tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam kenyataan memaklumkan Adam Ashraf Mohd Amir, 19, lemas ketika melakukan aktiviti di sungai tersebut dan ditemukan kira-kira tiga meter dari lokasi terakhirnya pada 12.44 tengah hari.

Menurut JBPM, panggilan kecemasan diterima daripada rakan mangsa pada 11.43 pagi sebelum enam anggota dengan sebuah jentera dari dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, Komander Operasi menjalankan pencarian permukaan (‘surface searching’) di kawasan sekitar sebelum mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” menurut kenyataan itu.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata bedah siasat mangsa selesai dijalankan di Hospital Kuala Baharu hari ini.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mengunjungi pusat rekreasi dan kawasan perkelahan di Hulu Selangor agar sentiasa peka terhadap keselamatan diri ketika beriadah bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.