SHAH ALAM, 11 FEB: Atlet negeri bagi 28 sukan wajib dipertandingkan mula menjalani latihan intensif sebagai persiapan selaku tuan rumah pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di negeri ini tahun depan.
Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata lantikan jurulatih untuk 28 sukan berprestasi tinggi itu sudah dilakukan selain setiap atlet dihantar menyertai kejohanan untuk diuji kelayakan.
“Sukan yang menjadi lubuk pingat seperti renang dan olahraga menjalani latihan selepas SUKMA Sarawak bagi mengekalkan momentum.
[caption id="attachment_570910" align="alignleft" width="500"] Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
“Manakala latihan berkala untuk sukan seperti menembak, gimnastik dan basikal ditingkatkan kerana kita mensasarkan penambahan pingat serta memecah dominasi negeri lain,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada Media Selangor.
Pada masa sama, Mohamad Nizam berharap seluruh rakyat Selangor memberi sokongan penuh terhadap atlet muda negeri dalam merealisasikan sasaran menjadi juara keseluruhan pada kejohanan dwitahunan itu.
“Semua negeri yang menjadi tuan rumah memang dasarnya ingin menjadi juara. Ia juga menjadi visi serta hasrat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
“Kita sedang mengusahakan ke arah matlamat ini namun memerlukan sokongan Kerajaan Negeri, agensi serta seluruh masyarakat di negeri ini,” ujarnya.
Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah sukan berprestij itu pada 1998.
Amirudin berkata pentadbiran menganggar kos lebih RM150 juta diperuntuk bagi menganjur temasya SUKMA kali ini selain penggunaan 90 peratus infrastruktur di Selangor.
[caption id="attachment_681260" align="aligncenter" width="865"] Atlet serta pegawai Selangor menyertai perbarisan lintas hormat kontinjen negeri pada acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak, 17 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR[/caption]