ad
AGENDA

Pekerja kantin direman bantu siasatan kes pukul anak

11 Feb 2025, 5:40 AM
Pekerja kantin direman bantu siasatan kes pukul anak

KANGAR, 11 FEB: Pekerja kantin direman enam hari bagi membantu siasatan kerana disyaki memukul anak perempuannya berusia empat tahun hingga tersungkur dan cedera terhantuk di bucu bangku di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, Arau.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata perintah reman bermula hari ini terhadap wanita berumur 37 tahun itu dibenarkan Majistret Mahkamah Kangar Ana Rozana Mohd Nor.

Ahmad Mohsin berkata wanita itu ditahan di bilik sewanya di Jejawi 11.30 malam tadi selepas polis melihat satu hantaran video melalui WhatsApp pada 10 malam tadi memaparkan dia dipercayai memukul bahagian belakang kepala anak perempuannya hingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah di hadapan pasar raya tersebut.

"Kejadian itu berlaku pada 9 Februari (Ahad lalu) dan kanak-kanak ini luka berjahit di bahagian kening sebelah kanan. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata suami kepada wanita itu juga pekerja kantin dan mereka mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun.

Semalam, video berdurasi 47 saat yang memaparkan seorang wanita dipercayai memukul belakang kepala anak perempuannya itu tular melalui media sosial.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.