ad
AGENDA

DOSM: Selangor, Kedah rekod pengangguran terendah suku keempat 2024

10 Feb 2025, 9:06 AM
DOSM: Selangor, Kedah rekod pengangguran terendah suku keempat 2024
DOSM: Selangor, Kedah rekod pengangguran terendah suku keempat 2024
DOSM: Selangor, Kedah rekod pengangguran terendah suku keempat 2024

SHAH ALAM, 10 FEB: Selangor dan Kedah merekodkan kadar pengangguran terendah di Malaysia bagi suku tahun keempat 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua perangkawan berkata kedua-dua negeri itu mencatatkan kadar pengangguran 1.7 peratus, diikuti Melaka (1.8 peratus), Johor dan Pulau Pinang (2.2 peratus).

“Sebanyak sembilan negeri mencatatkan peningkatan dalam kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB), menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran.

“Selangor merekodkan KPTB yang tertinggi iaitu pada 76.4 peratus, diikuti oleh Kuala Lumpur (74.9 peratus) dan Pulau Pinang (73.2 peratus),” kata Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Dalam kenyataan hari ini, jelasnya, kadar pengangguran Malaysia pada Disember 2024 mencatat paras terendah dalam tempoh hampir 10 tahun iaitu 3.1 peratus, dengan 544,000 penganggur.

[caption id="attachment_635470" align="alignright" width="500"] Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ditemui pemberita selepas melawat kaunter pendaftaran Padu di Dewan Orang ramai Kampung Sungai Buaya, Banting pada 29 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]

Beliau berkata perkara tersebut disumbang ekonomi negara yang terus menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan kukuh menjelang akhir tahun lalu.

"Pasaran buruh juga menunjukkan prestasi baik dengan kadar pengangguran terus menurun pada Disember 2024. Guna tenaga mencatatkan perkembangan stabil, dan bilangan penganggur terus berkurang.

“Bilangan tenaga buruh pada Disember 2024 kekal pada trend menaik dengan peningkatan 0.1 peratus kepada 17.32 juta orang, merekodkan KPTB yang lebih tinggi iaitu 70.6 peratus berbanding 70.5 peratus pada bulan lalu," katanya.

Beliau menambah bilangan penduduk bekerja pada Disember 2024 menunjukkan trend positif, mencecah seramai 16.78 juta orang, dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus.

Menurutnya, bilangan penganggur pada bulan berkenaan juga turun sebanyak 0.4 peratus daripada 546,700 orang pada November 2024 kepada 544,300 orang.

"Kadar pengangguran pada Disember menurun kepada 3.1 peratus, merekodkan kadar terendah dalam tempoh hampir satu dekad," katanya.

[caption id="attachment_592281" align="aligncenter" width="748"] Peniaga di Tapak Laman Niaga Komuniti Sungai Long, Hulu Langat pada 11 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Mengenai situasi guna tenaga, Mohd Uzir berkata kategori pekerja yang mewakili 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.56 juta orang.

Katanya, kategori penduduk bekerja sendiri juga berada pada trend menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus kepada 3.12 juta orang.

“Bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan meningkat dengan stabil, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; kesenian, hiburan dan rekreasi; serta penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman.

“Sektor pembuatan, pembinaan, dan pertanian juga mencatatkan pertumbuhan guna tenaga yang positif, manakala guna tenaga dalam sektor perlombongan dan pengkuarian berkurang,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.