PETALING JAYA, 10 FEB: Pihak pembangkang diingatkan supaya memberi tumpuan kepada rakyat dan tidak terburu-buru melakukan persiapan pilihan raya umum (PRU).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan berkata rakyat amat memerlukan pemimpin yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap keperluan semasa.
“Ini adalah permainan politik yang tidak bagus. Kalau mahu buat persiapan PRU, tunggu lah perdana menteri umum bubar Parlimen terlebih dahulu.
“Buat masa ini fokus pada rakyat, fokus apa yang kita boleh buat dan beri khidmat kepada rakyat. Jangan kelentong kerana rakyat semakin bijak,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu, beliau menyempurnakan penyerahan sumbangan bantuan sekolah Bank Rakyat kepada 600 murid di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara di sini, hari ini.
[caption id="attachment_686307" align="alignnone" width="897"] Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan (belakang, tengah) menyanpaikan peralatan persekolahan kepada pelajar sekolah dalam Program Jangkauan Komuniti Madani Bank Rakyat Penyerahan Sumbangan Kembali Ke Sekolah Peringkat Sungai Buloh di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 10 Februari 2025. Hadir sama Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak (belakang, kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Ramanan yang juga timbalan ketua penerangan 1 Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata demikian mengulas kenyataan setiausaha agung Bersatu yang memaklumkan telah menggerakkan jentera bagi persiapan PRU.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilapor berkata jentera parti mula disiapkan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut atau ‘snap election’ pada akhir tahun ini.
Untuk rekod, penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada November 2022 membabitkan lima gabungan parti politik, hanya tamat pada 2027.
Lima gabungan parti itu ialah Pakatan Harapan (HARAPAN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.