PUTRAJAYA, 10 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terus memperkukuh nilai integriti dalam kalangan pegawai dan anggota, dengan menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan amalan rasuah.
Beliau berkata matlamat kerajaan adalah jelas dan amalan rasuah serta pencabulan terhadap usaha mengangkat darjat negara akan ditangani dengan tindakan tegas.
“Tidak kira terhadap mana-mana individu sahaja...jangan pernah sesekali kita mencemarkan nama baik jabatan dan meroboh kepercayaan rakyat kepada kita,” kata beliau dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-43 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kastam atas khidmat bakti dan pengorbanan dalam melonjakkan hasil negara serta menjaga keamanan tanah air.