PUTRAJAYA, 10 FEB: Modul latihan kepada syarikat pengawal keselamatan dan polis bantuan akan ditambah baik, bagi memastikan ia sesuai dengan potensi ancaman semasa terutama di tempat awam, susulan insiden tembakan yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam, pada Sabtu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang bertanggungjawab memberi latihan kepada syarikat pengawal keselamatan dan polis bantuan, akan meneliti perkara tersebut.
“Polis bantuan ataupun pengawal keselamatan, sebelum mereka memulakan tugas, memang syaratnya ialah mereka mesti dilatih oleh pasukan polis.
“Insiden seperti ini (tembakan di pusat beli-belah), memberikan kami satu lagi perspektif yang berbeza, sudah sampai masanya untuk modul dan silibus latihan itu kita kemas kini dan tingkatkan keperluan latihan kepada mereka.
“Saya akan meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan timbalannya Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay meneliti semula aspek ini, supaya keselamatan di kompleks perniagaan dan kawasan awam lebih berkesan,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi bulan Februari 2025, di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata beliau akan meminta pegawai terlibat untuk mengadakan perbincangan dengan pihak industri kawalan keselamatan, bagi tujuan menambah baik modul latihan yang diperlukan.
“Tujuannya untuk memastikan bahawa kita tangani isu keresahan rakyat terutama keselamatan di tempat awam,” katanya.
Saifuddin Nasution dalam masa yang sama memberi jaminan keselamatan orang awam dan negara sentiasa menjadi keutamaan KDN dan masyarakat tidak perlu panik berikutan insiden tembakan yang berlaku baru-baru ini.
Beliau berkata tahap kesiapsagaan PDRM sentiasa berada pada tahap kompetensi terbaik dan ia dibuktikan apabila suspek kes tembakan itu berjaya dikenal pasti dalam tempoh yang singkat.
“Bukan saja kita kenal pasti suspek tapi kita kenal pasti rekod dia ada rekod kes jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga menyedari keresahan orang awam mengenai pemilikan lesen senjata api, dan menegaskan proses mendapatkan lesen itu adalah sangat ketat dan perlu melalui tapisan keselamatan yang cermat.
“Tak ada rakyat Malaysia yang boleh memiliki senjata api melainkan dengan jalan pelesenan. Memiliki (senjata api) tanpa lesen adalah satu kesalahan jenayah yang sangat berat,” katanya.
Sabtu lepas, media melaporkan berlaku kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam, yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihak polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.
Mohd Shuhaily berkata siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan polis Selangor dengan bantuan Bukit Aman.
-BERNAMA