ad
BERITA UTAMA

Perubahan iklim global dan kebakaran 60,000 ekar California

10 Feb 2025, 2:00 AM
Perubahan iklim global dan kebakaran 60,000 ekar California

Banyak negara menyambut tahun baharu dengan meriah tetapi California menyambutnya dengan bencana alam. Pada 7 Januari 2025, selatan California dilanda kebakaran yang dahsyat hingga menghanguskan lebih 17,000 bangunan.

Luas kebakaran hampir 60,000 ekar. Kebakaran di California bukanlah pertama kali walaupun beritanya sensasi seolah-olah ia sesuatu yang baharu. Fenomena ini sebenarnya terjadi hampir setiap tahun terutama pada musim panas dan kering.

Tahun ini juga bukanlah paling teruk direkod. Tahun 2020 mungkin kebakaran paling dahsyat di California, api meliputi lebih 4 juta ekar dan memusnahkan lebih 20,000 bangunan.

Bagaimana terjadi?

Kebakaran liar bukan sahaja berlaku di California tetapi juga negara lain beriklim panas dan kering. Negara seperti Australia, India, Afrika, China dan beberapa lagi di Eropah mengalami bencana serupa. Iklim panas dan kering mewujudkan keadaan ideal untuk berlaku kebakaran liar.

Selain itu, musim kemarau berpanjangan menjadikan tumbuhan dan pokok kering hingga mudah menjadi bahan bakar. Sedikit percikan api atau kebakaran kecil cukup untuk memusnahkan kawasan luas. Apabila kebakaran dipengaruhi angin kencang yang kering, ia merebak pantas ke kawasan lain. Ini menyebabkan kebakaran liar sukar dikawal dan membawa kerosakan besar. Pencetus kebakaran pula boleh datang daripada alam semula jadi seperti kilat yang menyambar tanah atau hutan.

Namun, tidak dinafikan manusia juga penyumbang utama kebakaran liar. Perbuatan membuang puntung rokok, pembakaran sampah dan kecuaian lain antara faktor penyebab termasuk di California.

Di California, punca kebakaran baru-baru ini belum dapat dipastikan. Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut. Faktor lain menyumbang kepada kekerapan kebakaran hutan termasuk perubahan iklim global. Suhu yang semakin meningkat, kelembapan rendah dan angin kencang seperti Angin Santa Ana, semuanya mencetuskan risiko lebih tinggi. Tambahan pula, California banyak kawasan hutan, padang rumput dan pergunungan yang mudah terbakar, menjadikannya kawasan yang terdedah kepada bencana itu.

Mengapa sukar berlaku di Malaysia?

Berbeza California dan negara beriklim panas kering, Malaysia jarang mengalami kebakaran hutan. Walaupun Malaysia cuaca panas sepanjang tahun, ia tidak kering seperti California. Iklim di Malaysia panas dan lembap, dengan kelembapan atmosfera yang tinggi.

Kehadiran wap air dalam udara menyebabkan tumbuhan dan pokok sentiasa basah dan tidak mudah terbakar. Walau ada percikan api, kebarangkalian untuk merebak sangat rendah kerana bahan bakarnya iaitu tumbuhan tidak kering.

Bagaimanapun, Malaysia masih berdepan risiko kebakaran terutama di hutan gambut. Hutan itu cenderung terbakar semasa musim panas apabila paras air di kawasan tersebut menurun, mendedahkan bahan gambut kering yang mudah terbakar.

Kebakaran ini biasanya berlaku di Selangor, Pahang dan Johor. Ia sering dikait kegiatan manusia seperti pembukaan ladang atau pembakaran terbuka.

Untuk mengurangkan risiko, beberapa langkah pencegahan boleh diambil antaranya memastikan hutan dan padang rumput dipantau berkala. Pihak berkuasa perlu menjalankan kempen kesedaran kepada orang awam tentang bahaya kebakaran liar dan cara mencegahnya.

Contohnya, mendidik masyarakat tidak membuang puntung rokok sembarangan atau melakukan pembakaran terbuka.

Selain itu, negara-negara seperti California juga mengamal teknik seperti pembakaran terkawal untuk mengurangkan bahan bakar yang boleh mencetuskan kebakaran liar. Teknik ini dijalankan dengan hati-hati dan dikawal pihak berkuasa untuk memastikan api tidak merebak.

Kebakaran hutan antara bencana alam yang dahsyat dan menyebabkan kerugian besar kepada manusia dan alam sekitar. Walaupun fenomena ini lebih kerap berlaku di kawasan beriklim panas kering seperti California, negara lain juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Kesedaran masyarakat, teknologi dan kerjasama pihak berkuasa kunci utama untuk menangani masalah itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.