ad
AGENDA

Berang diminta alihkan barang dipercayai punca suspek lepaskan tembakan

9 Feb 2025, 11:44 AM
Berang diminta alihkan barang dipercayai punca suspek lepaskan tembakan
Berang diminta alihkan barang dipercayai punca suspek lepaskan tembakan

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Siasatan awal polis mendapati suspek melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor malam tadi, dipercayai akibat berang ditegur pekerja pembersihan supaya mengalihkan barang yang diletakkan di kawasan kejadian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketika kejadian, suspek lelaki tempatan berusia 30-an itu juga disyaki berada di bawah pengaruh dadah.

“Bagaimanapun, motif sebenar tiada (dikenal pasti) lagi,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hadir ke Majlis Perasmian dan Pelancaran Perayaan 60 Tahun Silat Cekak Pusaka Hanafi di Wisma Radio RTM hari ini.

[caption id="attachment_570423" align="alignleft" width="500"] Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto Bernama[/caption]

Mohd Shuhaily berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam tadi yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.

Beliau berkata siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek giat dilakukan polis Selangor dengan bantuan Bukit Aman dan beliau yakin kes itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan hari ini dilaporkan berkata suspek yang sedang diburu merupakan lelaki warga tempatan berumur 30-an, berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.