ad
BERITA UTAMA

Negeri tunggu laporan penuh kes tembak sebelum kemas kini SOP pusat beli-belah

9 Feb 2025, 11:00 AM
Negeri tunggu laporan penuh kes tembak sebelum kemas kini SOP pusat beli-belah
Negeri tunggu laporan penuh kes tembak sebelum kemas kini SOP pusat beli-belah

KUALA KUBU BHARU, 9 FEB: Kerajaan Negeri menunggu laporan penuh berkaitan kes tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, sebelum mengemas kini tatacara operasi piawai (SOP) keselamatan di pusat beli-belah.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata Kerajaan Selangor dimaklumkan insiden berkenaan disifatkan sebagai terpencil namun kejadian jenayah itu tidak harus dipandang ringan.

“Kita tunggu laporan penuh daripada pihak polis dahulu. Kalau ada keperluan, kita akan perketatkan SOP keselamatan di pusat beli-belah di Selangor.

[caption id="attachment_686200" align="alignleft" width="460"] EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim pada sidang media selepas majlis perasmian Pesta Joran Selangor 2025 di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu Selangor pada 9 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Kita mahu pastikan keselamatan semua pengunjung. Kes ini mungkin terpencil, tapi kita tidak pandang ringan,” katanya selepas merasmikan Pesta Joran 2025 di Tasik Fraser Valley di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam tadi yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek yang sedang diburu itu adalah seorang lelaki warga tempatan berumur 30-an, berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan kawalan keselamatan di pusat beli-belah dan lokasi tumpuan umum di seluruh negara diperketatkan susulan kejadian berkenaan.

Katanya, anggota polis bantuan dan pengawal keselamatan di lokasi kejadian juga sudah diarahkan sentiasa berwaspada terhadap aktiviti mencurigakan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.