SHAH ALAM, 9 FEB: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berhubung cadangan mewujudkan garis panduan untuk acara agama.
Berikutan itu, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata pihaknya bersama agensi berkaitan akan melaksana titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj supaya umat Islam terus memperkukuh akidah dan iman.
Menurutnya, agensi itu seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) termasuk TV Alhijrah.
"(Ia termasuk) kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri bagi memperhebat usaha dakwah kefahaman Islam dan pengukuhan akidah kepada umat Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.
[caption id="attachment_663580" align="alignleft" width="457"] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]
Jelasnya, Jakim juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan untuk menganjurkan program Dialog Harmoni bagi promosi perpaduan selaras keputusan jemaah menteri pada 7 Februari.
Pada masa sama, katanya, platform Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama akan digunakan untuk memperkukuh interaksi antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam.
"Islam adalah agama rahmah yang menyantuni semua pihak termasuk masyarakat bukan Islam selaras firman Allah dalam Surah Al-Mumtahanah," kata Dr Mohd Na'im.
Semalam, Sultan Sharafuddin dalam kenyataan menegaskan tidak bersetuju cadangan mewujudkan garis panduan untuk umat Islam menghadiri perayaan agama lain.
Baginda berpandangan cadangan itu dibuat pada waktu tidak bersesuaian, ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah demi perpaduan nasional.
Kelmarin, jemaah menteri memutuskan tiada keperluan mewujudkan garis panduan mengenai pembabitan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perkara itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).