ad
AGENDA

Pemandu, penumpang bas cedera kemalangan dengan lori

9 Feb 2025, 9:59 AM
Pemandu, penumpang bas cedera kemalangan dengan lori

KULAI, 9 FEB: Pemandu bas dan 21 penumpang cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dan lori di Kilometer 35.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan bas jenis Hino dan lori jenis Volvo itu pada 2.45 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas berkenaan memandu laju dan gagal memperlahankan kenderaannya sebelum terlanggar bahagian belakang lori terbabit.

"Akibat pelanggaran itu, pemandu bas dan 21 penumpang cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan berkata kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Ali Lorulince Abdullah di talian 013-7778884 atau hadir ke bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II KUP Mohd Khairil Buang berkata sebuah jentera 'Fire Rescue Tender' dengan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai dan Renggam bergegas ke lokasi.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) didapati lori terbabit tiada dan terdapat 22 mangsa mengalami kecederaan.

"PKO kemudiannya mengeluarkan dua orang mangsa menggunakan pengusung dan menghantar tiga mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut sementara mangsa yang lain diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.