ad
AGENDA

Jualan kembali ke sekolah tawar potongan harga hingga 30 peratus

9 Feb 2025, 7:28 AM
Jualan kembali ke sekolah tawar potongan harga hingga 30 peratus

PENAMPANG, 9 FEB: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Back to School tahun ini bagi memastikan rakyat mendapat akses barangan persekolahan pada harga murah berbanding pasaran.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata program yang bermula sejak 18 Januari lalu dan berakhir 16 Februari ini melibatkan 174 pasar raya, pusat beli-belah dan kedai pakaian di seluruh negara melalui pelaksanaan di dalam dan luar premis.

Beliau berkata 243 siri PJRM Back to School dirancang dalam tempoh berkenaan dan setakat semalam, 101 siri program itu sudah dilaksanakan seterusnya membantu rakyat terutama kurang mampu menyediakan kelengkapan sekolah anak mereka.

Beliau berkata di Sabah, 24 daripada 31 siri PJRM Back to School telah dilaksanakan setakat hari ini.

"Program ini menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa bagi 45 hingga 70 stock keeping unit (SKU) termasuk pakaian seragam sekolah, kasut sekolah, beg sekolah dan kelengkapan alat tulis," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan PJRM Back To School di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Sehubungan itu, Armizan berkata peniaga barangan keperluan sekolah diingatkan tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga dan mencatut bagi mendapatkan keuntungan tinggi ketika rakyat sedang menyediakan barangan keperluan sekolah anak-anak.

"KPDN akan terus memantau dan menguatkuasakan undang-undang terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah. Kementerian akan mengambil tindakan susulan dalam 24 jam sekiranya terdapat aduan berkaitan pencatutan,” katanya.

Beliau berkata dalam mengukuhkan tindakan penguatkuasaan, pihaknya memohon orang ramai melaporkan perbuatan mencatut kepada KPDN segera dan aduan juga boleh disalurkan melalui laman sesawang https://e-aduan.kpdn.gov.my/.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.