ad
BUDAYA

Kemudian Ijok Besok Masih Tak Ada Apa-Apa

9 Feb 2025, 12:00 AM
Kemudian Ijok Besok Masih Tak Ada Apa-Apa

tar terlantar menyebar jarak tanpa memohon maaf

daripada penduduk mengangguk di sepanjang tubuh

ketawa setompok karpet semalu dandelion ungu mini

tak meminta penjelasan kaki seri pagi terus berjalan

di mukim ini menegur taasub sekeluarga air pemberani

mati bunuh diri terjun hanyut hidup baharu sehari lagi

kemudian besok? ijok tak ada apa-apa kecuali

kelompok anak sedang lebih nakal daripada shin chan

kakak dan abang ke timur? selatan? lari dari rumah

kemudian besok? ijok tak ada apa-apa kecuali

bukit, bukit, bukit, bukit, dan bukit menunggu giliran

puncak-puncak melereng resah menyembah lembah

kemudian besok? ijok tak ada apa-apa kecuali

pemaju-pemaju beribu teraju menuju setuju itu-itu

banjir tentang hutang cuaca cuma mereka punya biaya

dan ijok kecualinya ada aku dan aku, menggayuti

poket doraemon ialah poket-poket seluar kargo ayah

darinya terhidu bau gemerencing anak-beranak kunci

diduga pintu-pintu mustahil seerti kelmarin siling langit

dibocorkan keadaan (doa mak enggan memerlahan)

kuselak kelopak risau meninjau luput liang kebocoran

bertampal perca poket doraemon sebagai bulan

kembali aku lena bertahun lama untuk setiap bangun

mengucapkan selamat pagi kepada kesunyian januari

dan telinga kampung ini yang lapar bunyi-bunyi.

Fadhilah Ad Deen

Ijok, Perak

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.