ad
AGENDA

Pekerja pembersihan cedera insiden tembakan di pusat beli-belah dekat Setia Alam

8 Feb 2025, 11:55 PM
Pekerja pembersihan cedera insiden tembakan di pusat beli-belah dekat Setia Alam

SHAH ALAM, 9 FEB: Seorang pekerja pembersihan mengalami kecederaan pada kaki dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di sini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mangsa seorang warga asing berusia lingkungan 30-an itu dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata suspek yang juga warga tempatan dipercayai tiba di pusat beli-belah itu lebih kurang 10 malam dan menuju ke arah mangsa sebelum melepaskan tembakan.

“Polis percaya sekurang-kurangnya lapan das tembakan telah dilepaskan suspek terhadap mangsa menggunakan pistol,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selepas melepaskan tembakan, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menahan sebuah kenderaan dan memaksa pemandu kenderaan itu membawanya keluar dari kawasan terbabit.

“Suspek kemudian memaksa pemandu itu menurunkannya di tepi jalan sekitar Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan pemandu terbabit kemudiannya membuat laporan polis,” katanya.

Berikutan itu katanya polis kini giat menjejaki suspek di lokasi terakhir dia dilihat.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian berkenaan.

“Ya betul (berkenaan insiden tembakan) dan pasukan polis baru sampai di tempat kejadian, nanti saya (kongsikan) perkembangan kes,” katanya ketika dihubungi.

Tular di media sosial mengenai satu kejadian tembakan yang dikatakan berlaku di sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat-beli belah dekat Setia Alam.

Sementara itu, Mohd Iqbal berkata keadaan di sekitar pusat beli-belah berkenaan disahkan selamat daripada ancaman dan dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata polis telah memeriksa semua kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut dan melakukan flushing di kawasan sekitar sebelum mengesahkan situasi dan lokasi kejadian adalah selamat.

“Selepas pemeriksaan rapi, kita sahkan kawasan ini selamat dan premis ini dibenarkan beroperasi seperti biasa esok (hari ini),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Beliau berkata unit forensik polis sedang melaksanakan siasatan terperinci di lokasi kejadian yang dipercayai berlaku sebelum waktu operasi premis berkenaan berakhir.

Menurut Mohd Iqbal, pihaknya akan memberikan kenyataan penuh selepas siasatan di tempat kejadian selesai.

Terdahulu, lebih 10 pengamal yang berkumpul di luar pusat beli-belah itu dibenarkan masuk dengan diiringi polis untuk melihat situasi dan lokasi kejadian dari dekat.

Tinjauan mendapati lima anggota forensik sedang melakukan kerja pemeriksaan secara terperinci sambil beberapa anggota polis berkawal untuk mengawasi keadaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.