ad
AGENDA

Sultan tidak setuju garis panduan acara agama, yakin umat Islam tahu batas

8 Feb 2025, 8:56 AM
Sultan tidak setuju garis panduan acara agama, yakin umat Islam tahu batas
Sultan tidak setuju garis panduan acara agama, yakin umat Islam tahu batas

SHAH ALAM, 8 FEB: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tidak bersetuju cadangan mewujudkan garis panduan untuk umat Islam menghadiri perayaan agama lain.

Istana Alam Shah dalam kenyataan menyebut Baginda berpandangan cadangan itu dibuat pada waktu tidak bersesuaian, ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah demi perpaduan nasional.

"Sebagai ketua agama Islam di Selangor, Baginda berpandangan cadangan garis panduan ini dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian, pada ketika sekalian rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.

"Polemik yang tercetus ini sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ini pastinya akan menjejaskan keharmonian yang sedia terjalin," menurut kenyataan itu.

Baginda bertitah al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.

[caption id="attachment_630304" align="aligncenter" width="815"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mewarna mata singa ketika majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2024 peringkat Selangor di IOI Resort City, Putrajaya pada 24 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Justeru, Baginda menegaskan isu terpesong akidah susulan amalan itu tidak timbul kerana umat Islam dipercayai mengetahui batas, tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai sesuatu tindakan.

Pada masa sama, Baginda mengingatkan toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan.

"Dalam masa sama, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia," jelas kenyataan itu.

Baginda menasihatkan umat Islam khususnya di Selangor sentiasa berusaha memperkukuh akidah dan iman dengan mendalami ilmu agama dan melakukan suruhan Allah SWT serta meninggalkan larangan-Nya.

"Apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki, serta memantapkan keyakinan kepada Allah SWT, maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar," katanya.

Jemaah menteri semalam memutuskan tiada keperluan mewujudkan garis panduan mengenai pembabitan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Menurutnya, sebagai sebuah negara yang agama rasminya Islam, kepentingan kaum dan agama lain di Malaysia juga harus dijaga bagi memelihara keamanan.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang memuktamadkan garis panduan berhubung pembabitan umat Islam sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.