PETALING JAYA, 8 FEB: Rekabentuk perpustakaan di Selangor yang lebih moden dengan pelbagai ruang serbaguna disedia khusus untuk memenuhi keperluan masyarakat, kata Dato' Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari yakin konsep yang diketengahkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di semua perpustakaannya mampu menarik lebih ramai pengunjung.
[caption id="attachment_686053" align="aligncenter" width="767"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika perasmian Perpustakaan Awam Selangor @ AYG Kota Damansara Blok D di PPR Kota Damansara pada 8 Februari 2025. Foto RADIN WAZIR[/caption]
“Perpustakaan sering kali dianggap terasing daripada komuniti dan hanya dihuni oleh ulat buku tetapi di Selangor kita bergerak dengan satu naratif berbeza.
“Kita mahu menjadikan perpustakaan lokasi setempat yang semua orang boleh duduk, kita sediakan studio, surau, bilik seminar, pantri dan pelbagai kemudahan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perpustakaan Awam Selangor @ AYG Kota Damansara Blok D di PPR Kota Damansara di sini hari ini.
[caption id="attachment_686050" align="aligncenter" width="796"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak perasmian Perpustakaan Awam Selangor @ AYG Kota Damansara Blok D di PPR Kota Damansara pada 8 Februari 2025. Foto RADIN WAZIR[/caption]
Amirudin turut mengucapkan tahniah kepada PPAS yang menyediakan perpustakaan mesra transit itu dan berharap menjadi contoh kepada agensi lain.
Sementara itu, pengarah PPAS berkata lebih 4,000 orang berkunjung ke Perpustakaan Awam Selangor @ AYG Kota Damansara sejak dibuka 1 November tahun lalu.
Menurut Datin Paduka Mastura Muhamad kewujudan perpustakaan mesra transit berkeluasan lebih 3,000 kaki persegi itu merupakan hasil kerjasama dengan badan bukan kerajaan Adab Youth Garage (AYG).
“Kewujudan perpustakaan ini juga bagi menyahut saranan Dato’ Menteri Besar yang mengingatkan agar tiada sesiapa yang tercicir di Selangor dari menerima manfaat”.
“Kami berharap kerjasama (PPAS dan AYG) dapat meningkatkan keberkesanan perkhidmatan perpustakaan sekali gus memberi nilai tambah kepada masyarakat bukan sahaja dari segi pendidikan tetapi meliputi ekonomi, kerohanian dan sosial,” katanya.
[caption id="attachment_686051" align="aligncenter" width="775"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat dan beramah mesra dengan pengunjung Perpustakaan Awam Selangor @ AYG Kota Damansara Blok D di PPR Kota Damansara pada 8 Februari 2025. Foto RADIN WAZIR[/caption]