ad
AGENDA

Siasatan kes tipu isteri pelawak selesai, suspek akan didakwa

8 Feb 2025, 6:59 AM
Siasatan kes tipu isteri pelawak selesai, suspek akan didakwa

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Kertas siasatan berhubung kes penipuan berjumlah RM95,180 melibatkan isteri kepada pelakon dan pelawak sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) baru-baru ini untuk arahan selanjutnya.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek wanita itu kini ditahan reman di Sabah untuk siasatan kes penipuan lain disyaki membabitkan suspek itu di negeri berkenaan.

“Selesai siasatan di Sabah, suspek akan diambil semula untuk dituduh di mahkamah membabitkan kes penipuan di Selangor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Khamis lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata semakan turut mendapati suspek mempunyai tujuh kes penipuan di lima negeri melibatkan kerugian keseluruhan RM161,355.

Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan daripada wanita berusia 33 tahun berhubung dakwaan kes penipuan bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah membabitkan suaminya.

Mangsa dilaporkan bertemu seorang wanita berumur 28 tahun pada Disember tahun lalu bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi suaminya dan ditawarkan bantuan untuk menukar seksyen kesalahan di mahkamah.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.