ad
AGENSI

Baca, hafaz al-Quran setiap hari antara amalan johan qari, qariah tilawah

8 Feb 2025, 6:16 AM
Baca, hafaz al-Quran setiap hari antara amalan johan qari, qariah tilawah
Baca, hafaz al-Quran setiap hari antara amalan johan qari, qariah tilawah
Baca, hafaz al-Quran setiap hari antara amalan johan qari, qariah tilawah
Baca, hafaz al-Quran setiap hari antara amalan johan qari, qariah tilawah

SHAH ALAM, 8 FEB: Minat mendalam terhadap al-Quran sejak kecil dengan mengamalkan kitab suci itu hampir setiap hari antara amalan diterap Khairul Zaki Razali.

Dinobat johan qari dan peserta terbaik keseluruhan tilawah peringkat Selangor semalam adalah perkara yang tidak diduga Khairul Zaki selain menganggap ia hadiah terbesar tahun ini.

Berkongsi amalannya, Khairul Zaki, 44, yang juga Imam di Masjid Bandar Utama Batang Kali berkata, beliau mula membaca dan mengamalkan ayat suci al-Quran sejak usia 11 tahun.

"Alhamdulillah, syukur apabila nama diumum sebagai johan tilawah dan peserta terbaik, saya tidak menduga dengan kemenangan ini malah terpilih mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan.

[caption id="attachment_685977" align="aligncenter" width="1099"] Peserta terbaik keseluruhan Tilawah al-Quran Khairul Zaki Razali pada majlis penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

"Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) juga banyak membantu kami mengasah dan memperbaiki lagi mutu bacaan selain saya turut meluangkan sekurang-kurangnya setengah jam sehari untuk bertaranum," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Selangor Tahun 1446H/2025M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.

Sementara itu, johan qariah dimenangi Humairourrohman Mastor, 22, yang mengakui terkejut kali pertama menyertai pertandingan itu dan diumum peserta terbaik keseluruhan hafazan al-Quran.

Berkongsi amalannya, penuntut Ijazah Sarjana Muda jurusan al-Quran dan As-Sunnah Universiti Islam Selangor itu berkata beliau sentiasa mengamalkan membaca dan hafaz al-Quran selepas solat Subuh.

"Terima kasih juga kepada ibu dan bapa yang banyak bagi sokongan dan semangat untuk saya masuk pertandingan ini. Ibu dan bapa guru mengaji dan mereka juga banyak membantu saya.

[caption id="attachment_685976" align="aligncenter" width="1069"] Peserta terbaik keseluruhan Hafazan al-Quran Humairourrohmah Mastor pada majlis penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

"Insya-Allah, untuk persediaan peringkat kebangsaan ini saya akan menggandakan ulangan juzuk dan memahami lagi tafsir kitab suci ini," kata anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Khairul Zaki membawa pulang wang tunai RM20,000 manakala Humairourrohman menerima RM15,000. Kedua-duanya turut menerima plak dan sijil.

Mereka mewakili Selangor ke pertandingan tilawah dan hafazan peringkat kebangsaan yang diadakan dari 24 April hingga 3 Mei ini di Perlis.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad serta Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

[caption id="attachment_686017" align="aligncenter" width="1206"] Peserta terbaik keseluruhan tilawah al-Quran Khairul Zaki Razali mengalunkan ayat suci al-Quran sempena majlis penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.