ad
AGENDA

3,149 titik akses Wi-fi dipasang di tiga universiti, jangka siap empat bulan

8 Feb 2025, 4:19 AM
3,149 titik akses Wi-fi dipasang di tiga universiti, jangka siap empat bulan

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Sebanyak 3,149 titik akses Wi-fi siap dipasang di tiga universiti awam menerusi fasa pertama dalam usaha meningkatkan capaian Internet di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 1,837 titik akses Wi-fi dipasang di empat fakulti dan satu kolej kediaman di Universiti Malaya, manakala bakinya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

“Jumlah kos yang diperuntukkan ialah RM11.6 juta dan semua titik akses di semua universiti terlibat dalam fasa pertama ini disiapkan pada 5 Februari seperti disasarkan.

“Jadi secara keseluruhan, ia memakan masa lebih kurang tiga minggu untuk kerja ini disiapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pemasangan titik akses Wi-fi di Universiti Malaya, di sini hari ini.

Fahmi berkata bagi fasa kedua, 31,173 titik akses Wi-fi akan dipasang bermula Mac di 14 IPTA, 24 politeknik dan 43 kolej komuniti di seluruh negara serta dijangka siap dalam tempoh empat bulan, melibatkan kos RM175.8 juta.

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan susulan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar liputan Internet di kampus, kolej dan universiti ditambah baik, termasuk usaha pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk segera menyelesaikan isu capaian Internet di institusi berkenaan.

“Sebelum ini Kementerian Komunikasi dan juga SKMM telah mengusahakan beberapa pakej seperti pakej Rahmah Siswa, yang menyediakan 30 GB data untuk enam bulan yang merupakan 50 peratus lebih murah untuk mahasiswa, tapi maklum balas yang kami terima daripada pelajar ialah mereka mengharapkan Wi-fi kampus itu (kerana) jaringannya lebih meluas.

“Insya-Allah dengan siapnya jumlah hampir 35,000 titik akses menjelang Julai nanti, saya harap ini akan dapat menyelesaikan secara menyeluruh masalah Internet di semua universiti awam,” katanya.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menyampaikan sumbangan 50 komputer riba kepada mahasiswa UM, terutama yang terjejas akibat banjir pada hujung tahun lalu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.