ad
AGENDA

Sindiket pengiriman wang tanpa lesen diserbu, RM3.6 juta dirampas

8 Feb 2025, 3:05 AM
Sindiket pengiriman wang tanpa lesen diserbu, RM3.6 juta dirampas

PUTRAJAYA, 8 FEB: Jabatan Imigresen merampas RM3.6 juta dan menahan 10 warga asing dalam operasi khas di sekitar Klang, Selangor dan Brickfield, Kuala Lumpur pada Khamis lalu, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.

Zakaria berkata operasi bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan CyberSecurity Malaysia ke atas beberapa premis dipercayai menjalankan sindiket perniagaan pengiriman wang haram itu, turut merampas mata wang asing berjumlah Euro 1,400, Yuan 10,000 dan barangan perhiasan dipercayai emas.

Beliau berkata semakan awal mendapati tiga lelaki warga India salah guna pas, dua lelaki warga India tinggal lebih masa, manakala tiga lelaki warga India dan dua perempuan warga Indonesia tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di Malaysia.

“Kesemua warga asing berusia antara 21 dan 57 tahun ini dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata premis berkenaan menawarkan perkhidmatan pengiriman wang tanpa lesen sah dan menyasarkan warga Indonesia dan India sebagai pelanggan.

“Sindiket ini menjalankan kegiatan di sebalik kedai runcit dan kedai makan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata sindiket dipercayai beroperasi sejak setahun lalu itu menerima antara RM15,000 dan RM60,000 sehari dan boleh mencecah sehingga RM110,000 pada musim perayaan.

“Wang ini dihantar ke luar negara terutama Indonesia dan India,” katanya.

Zakaria berkata pihaknya percaya sindiket berkenaan menggunakan barangan kemas yang dibawa ke luar negara sebagai proses penghantaran kiriman wang haram tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang berkaitan perniagaan wang dan pengubahan wang haram.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.