ad
AGENSI

Tilawah martabat al-Quran, lahir ramai qari, qariah berwibawa

8 Feb 2025, 2:00 AM
Tilawah martabat al-Quran, lahir ramai qari, qariah berwibawa
Tilawah martabat al-Quran, lahir ramai qari, qariah berwibawa
Tilawah martabat al-Quran, lahir ramai qari, qariah berwibawa

SHAH ALAM, 8 FEB: Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memartabatkan kitab suci sekali gus melahirkan ramai qari dan qariah berwibawa.

Pengarahnya Dato' Mohd Shahzihan Ahmad berkata majlis tahun ini yang diadakan empat hari sejak 4 Februari membabitan 52 peserta dari seluruh Selangor.

"Peserta adalah dalam kalangan mereka yang terpilih di peringkat daerah, kemudian bakat mereka terus diasah dan disaring di Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran.

"Majlis ini diharap dapat mencungkil bakat qari dan qariah serta hafiz dan hafizah terbaik di Selangor untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan seterusnya ke peringkat antarabangsa," katanya.

[caption id="attachment_685978" align="aligncenter" width="1132"] Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato' Mohd Shahzihan Ahmad mengumumkan pemenang sempena majlis penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pengumuman keputusan Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad serta Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Sementara itu, Johan Tilawah al-Quran yang turut dipilih peserta terbaik keseluruhan dinobatkan kepada Khairul Zaki Razali, 44. Beliau membawa pulang wang tunai RM20,000, plak dan sijil.

Manakala, peserta terbaik keseluruhan hafazan al-Quran daripada juzuk 1 hingga 30 dianugerahkan kepada Humairourrohman Mastor, 22, yang menerima wang tunai RM15,000, plak dan sijil.

Kedua-dua pemenang akan mewakili Selangor ke Pertandingan Tilawah dan Hafazan peringkat Kebangsaan yang akan diadakan dari 24 April hingga 3 Mei di Perlis.

[caption id="attachment_685980" align="aligncenter" width="1147"] Peserta terbaik keseluruhan tilawah Khairul Zaki Razali (kiri) dan peserta terbaik keseluruhan hafazan Humairourrohmah Mastor (kanan) pada majlis penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.