SHAH ALAM, 7 FEB: Permohonan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) Selangor yang menawarkan bantuan RM1,000 kepada pelajar dari keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah, dibuka Mac ini.
Dato’ Menteri Besar berkata insentif dengan peruntukan RM3 juta tahun ini untuk membantu pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, HPIPT Selangor diberi kepada anak Selangor yang melanjutkan pendidikan ke IPTA dan IPTS diiktiraf bagi Sijil Kemahiran Tahap 4, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.
“Tahun ini, dana disediakan sebanyak RM3 juta. Tahun lepas, 3,000 anak Negeri telah diberi insentif yang sangat membantu mereka bersedia dengan lebih baik menempuhi alam universiti," katanya di Facebook.
Maklumat lanjut boleh layari laman sesawang https://danapendidikan.selangor.gov.my/syarat-syarat-hpipt.
Amirudin ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan RM3 juta telah diperuntuk untuk HPIPT Selangor bagi memberi galakan kepada mahasiswa untuk terus berjaya.