ad
BERITA UTAMA

Lembaran seribu hadis era Rasulullah, isyarat bibir tangkis keraguan musyrikin

7 Feb 2025, 4:00 AM
Lembaran seribu hadis era Rasulullah, isyarat bibir tangkis keraguan musyrikin

Sudah diketahui bahawa orang Arab sebelum Islam tidak mengenali tulisan dan bacaan. Namun, Makkah sebagai pusat perdagangan menyaksikan kewujudan beberapa individu yang tahu membaca dan menulis sebelum kebangkitan Islam.

Walaupun ada riwayat yang menyebut hanya sekitar belasan orang di Makkah yang boleh membaca dan menulis, di Madinah juga terdapat segelintir yang memiliki kemahiran tersebut. Inilah yang biasanya dimaksudkan apabila orang Arab digambarkan sebagai "ummiyyin" (buta huruf).

Riwayat menunjukkan jumlah individu yang tahu menulis di Makkah lebih ramai berbanding di Madinah. Ini dibuktikan apabila Rasulullah membenarkan tawanan perang Badar dari Makkah menebus diri mereka dengan mengajar membaca dan menulis kepada sepuluh kanak-kanak Madinah.

Selain itu, penulis wahyu yang berjumlah kira-kira 40 orang pada zaman Rasulullah kebanyakannya berasal dari Makkah seperti yang disebut pemilik kitab al-Taratib al-Idariyah. Malah, al-Baladhuri dalam Futuh al-Buldan menyenarai beberapa wanita yang tahu menulis antaranya Ummul Mukminin Hafsah, Ummu Kultsum binti Uqbah, al-Syifa’ binti Abdullah al-Qurashiyyah, Aisyah binti Sa’d, dan Karima binti al-Miqdad.

Bagaimanapun, keadaan berubah setelah umat Islam menetap di Madinah. Bilangan individu yang tahu menulis semakin bertambah terutama selepas nabi memerintahkan Abdullah bin Sa’id bin al-As untuk mengajar menulis di Madinah. Beliau sendiri penulis yang mahir seperti yang disebut Ibn Abd al-Barr dalam al-Isti‘ab.

Abdullah bin Sa'd menyebut para sahabat yang berbai‘ah dari golongan Ansar pernah menulis surat kepada Rasulullah semasa Baginda di Makkah agar Baginda menghantar guru al-Quran ke Madinah. Rasulullah pun mengutus Mus‘ab bin ‘Umair kepada mereka untuk mengajar al-Quran dan ilmu agama.

Sudah diketahui para sahabat lebih mengutamakan menghafal hadis berbanding menuliskannya kerana mereka lebih fokus pada al-Quran dari sudut menerima, mengumpul dan menulis. Mereka juga bimbang jika hadis ditulis, ia mungkin bercampur dengan al-Quran hingga boleh menimbulkan kekeliruan.

Atas sebab ini, dalam riwayat Muslim menyatakan bahawa Abu Sa’id al-Khudri menyebut, pada peringkat awal, Rasulullah melarang penulisan hadis dan menyuruh agar ia dipadamkan.

Namun, apabila sebahagian besar wahyu diturunkan serta ramai yang menghafalnya dan tiada lagi kebimbangan bercampur antara ayat al-Quran dengan hadis, Rasulullah memberi keizinan khusus kepada beberapa sahabatnya untuk menulis hadis.

Keizinan ini bertujuan membantu mereka yang bimbang akan terlupa dan orang yang kurang kuat hafalannya. Dengan itu, keizinan ini diberi kepada mereka yang lebih teliti dan kuat hafalannya.

Diriwayatkan al-Tirmidzi bahawa seorang sahabat Ansar bernama Saad bin Ubadah memiliki sebuah lembaran yang terkandung beberapa hadis. Anaknya pula meriwayat hadis-hadis tersebut dari lembaran itu.

Sementara itu, al-Bukhari meriwayatkan lembaran itu salinan dari lembaran Abdullah bin Abi Aufa yang menulis hadis dengan tangannya sendiri. Orang ramai kemudian membacakan kepada beliau segala yang telah ditulis.

Antara lembaran terkenal pada zaman nabi adalah "al-Sahifah al-Sadiqah" yang ditulis Abdullah bin Amru bin al-As dari Rasulullah. Para ahli sirah menyebut lembaran ini mengandungi seribu hadis. Abdullah bin Amru bin al-As menulis setiap apa yang didengarnya daripada Rasulullah.

Isyarat nabi

Pada peringkat awal, ada pihak musyrikin mencipta keraguan kepadanya untuk memberhentikannya dari menulis hadis. Alasan mereka, nabi adalah manusia biasa yang tidak lepas dari gembira atau marah. Sejak itu, beliau berhenti menulis dan bertanya Rasulullah. Mendengar itu, sambil mengisyaratkan jari telunjuk nabi ke bibir Baginda, nabi berkata: tidak keluar dari sini kecuali kebenaran.

Selain itu, Abdullah bin Abbas juga dikenali kerana menulis banyak hadis dan sirah Rasulullah di papan tulis yang dibawanya bersama-sama ke majlis ilmu. Muridnya Sa'id bin Jubair menulis segala yang dipelajari daripadanya. Sahifah Abdullah bin Abbas terus dikenali dengan orang ramai meriwayat dan merujuknya dalam penulisan kitab-kitab tafsir.

Abu Hurairah mengumpulkan banyak lembaran yang ditulis para sahabat yang kebanyakannya hilang. Namun, seorang muridnya Hammam bin Munabbih meriwayatkan sebuah sahifah daripadanya, yang kemudian dikenali sebagai Sahifah Hammam. Sebenarnya, sahifah itu milik Abu Hurairah yang ditulis untuk Hammam.

Sahifah ini mempunyai kepentingan besar dalam pengumpulan hadis kerana ia sampai kepada kita dalam keadaan lengkap dan utuh sebagaimana yang diriwayat dan ditulis Hammam dari Abu Hurairah. Sahifah ini dikenali penulis Kashf al-Zunun sebagai al-Sahifah al-Sahihah dan ada dalam al-Musnad oleh Ahmad serta disebar dalam beberapa bab di dalam al-Bukhari dan kitab-kitab lain.

Hadis al-Bukhari Muslim juga ada menyebut berkenaan nabi menyuruh sahabat menulis hadis untuk kegunaan Abu Sha’ah. Ia berlaku dalam sejarah Fath Makkah ketika Rasulullah berkhutbah. Tiba-tiba, Abu Sha'ah, seorang lelaki dari Yaman berkata, "Tulis untuk saya, wahai Rasulullah." Rasulullah pun berkata, "Tulis untuk Abu Sha'ah."

Jelas penulisan hadis bukan berlaku selepas 200 tahun selepas kewafatan nabi sepertimana dakwaan pihak tertentu, sebaliknya pada era wahyu pun ada catatan dan penulisan hadis.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.