ad
AGENDA

Rasuah bagi dapat kawasan pembalakan, tiga penjawat awam antara lima individu ditahan

6 Feb 2025, 1:21 PM
Rasuah bagi dapat kawasan pembalakan, tiga penjawat awam antara lima individu ditahan

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman lima individu termasuk tiga penjawat awam disyaki terlibat dalam aktiviti rasuah berjumlah RM1 juta bagi mendapatkan kawasan pembalakan di negeri Pantai Timur dan selatan tanah air.

Menurut sumber SPRM, empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan antara 12 tengah hari hingga 5 petang Selasa lepas di beberapa lokasi di negeri di Pantai Timur dan di selatan tanah air melalui satu operasi khas oleh SPRM.

“Siasatan awal mendapati perbuatan itu dilakukan sejak 2016 sehingga kini dan transaksi rasuah oleh kesemua suspek disyaki sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja pembalakan.

“Selain itu, SPRM turut menyita dua kenderaan mewah dan wang tunai puluhan ribu ringgit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut sumber, kelima-lima mereka kini direman hingga Selasa ini untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Azam berkata dua individu yang turut ditahan sebelum ini berkaitan kes berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.